Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Khamis, dalam persekitaran harga minyak mentah bercampur-campur, mencerminkan pengukuhan ringgit dan prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau yang lemah, kata peniaga.
Beliau berkata harga minyak adalah bercampur-campur, dengan pelabur mengimbangi kebimbangan mengenai potensi gangguan bekalan berikutan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang meningkat berbanding jangkaan permintaan yang lebih tinggi daripada ekonomi AS yang berdaya tahan.
“Ringgit mengukuh berbanding dolar AS walaupun data ekonomi AS berdaya tahan berikutan ketidaktentuan mengenai penggantian kepimpinan di Rizab Persekutuan AS dan risiko dasar negara itu yang meluas,” katanya.
Pada sesi dagangan pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 3.9100/9230 berbanding dolar AS daripada 3.9110/9170 semasa ditutup pada Rabu.
Beliau berkata sentimen pasaran terjejas oleh jangkaan yang rendah untuk penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan jangka pendek dan peserta meneliti pengumuman statistik getah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dikekang oleh kebimbangan mengenai pengeluaran yang berkurangan di negara-negara utama pengeluar getah asli dan keyakinan mengenai dasar China yang menggalakkan persaingan adil dalam industri automotif,” katanya.
Pada 3 petang, Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 merosot sembilan sen kepada 764.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan dua sen kepada 579.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial