Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rithuan Ismail Dilantik Semula CEO Perbadanan Labuan Bermula 16 Feb

12/02/2026 10:47 PM

LABUAN, 12 Feb (Bernama) -- Rithuan Ismail dilantik semula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Labuan berkuat kuasa 16 Feb ini. 

Beliau menggantikan Mohd Sukuran Taib, yang telah dipindahkan ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Rithuan, 58, sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai tugas-tugas khas di Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan pernah berkhidmat sebagai CEO Perbadanan Labuan dari 2022 hingga 2024.

Ad Banner

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Labuan Husni Mohd Salleh berkata perbadanan itu perlu meneruskan agendanya, termasuk pemulihan asas organisasi, mempercepatkan pelaburan, pendigitalan dan pemodenan penyampaian perkhidmatan, selain memperkukuh pengurusan, meningkatkan tadbir urus dan integriti institusi, serta melaksanakan projek strategik selari dengan transformasi bandar secara menyeluruh.

Beliau menegaskan bahawa kestabilan dan perpaduan organisasi mesti kekal sebagai tunjang kemajuan organisasi itu.

“Kepimpinan eksekutif mungkin silih berganti tetapi semangat kebersamaan menjadi tonggak yang tidak boleh dikompromi. Seluruh jentera pengurusan perlu mengenepikan sebarang perbezaan dan bekerjasama bagi merealisasikan reformasi organisasi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tugas daripada Sukuran kepada Rithuan malam ini.

Husni turut menggariskan strategi yang jelas bagi memastikan perbadanan berkenaan kekal relevan dan berdaya saing. 

Bagi pemulihan dan pertumbuhan ekonomi, beliau berkata pihaknya akan memberi tumpuan penuh kepada usaha pemulihan asas organisasi dan mempercepatkan pelaburan strategik.

Husni turut menyatakan keyakinan bahawa pengalaman serta keakraban Rithuan dengan pihak berkuasa tempatan akan membolehkan beliau menerajui organisasi itu dengan berkesan, selaras asiprasi pembangunan jangka panjangnya, demi kesejahteraan dan kemajuan mampan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan