Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka mengekalkan aliran meningkatnya dan melepasi semula paras halangan 1,640 minggu depan, selepas kali terakhir mencapai paras yang tinggi pada 1,642.33 mata pada 31 Dis 2024.
Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pasaran mempunyai potensi untuk melepasi paras halangan pada bulan ini, disokong oleh sentimen global yang bertambah baik dan data domestik yang kukuh.
“Lazimnya, Disember merupakan bulan yang menyokong pasaran ekuiti dan pelarasan semula portfolio institusi akan memberikan sokongan tambahan,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, katanya hala tuju pasaran pada minggu depan akan banyak dipengaruhi oleh dua perkara penting pada peringkat global.
“Data ekonomi China bagi bulan November, yang akan dikeluarkan pada Isnin, akan menentukan sentimen pasaran serantau.
“Kami menjangka pengeluaran perindustrian dan jualan runcit akan meningkat, masing-masing kepada 5.1 peratus dan 2.9 peratus tahun ke tahun manakala pelaburan aset tetap dijangka mencatatkan penguncupan kepada negatif 2.8 peratus setakat ini pada tahun ini,” katanya.
Beliau kemudian merujuk kepada satu lagi perkara penting, iaitu senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan pada Selasa, meliputi data pekerjaan bulan Oktober dan November 2025.
“Petunjuk awal menunjukkan pasaran tenaga kerja kekal berdaya tahan tetapi pertumbuhannya perlahan secara berperingkat, dengan pengambilan pekerja dalam sektor swasta dijangka sederhana.
“Bacaan yang rendah tetapi masih positif secara amnya sejajar dengan pendirian semasa Rizab Persekutuan manakala penurunan yang lebih ketara boleh memberi tekanan kepada sentimen risiko global,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua data tersebut akan menjadi faktor utama dalam membentuk jangkaan pelabur pada minggu depan dan akan menentukan sama ada peningkatan semula FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang terkini akan berterusan.
Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI meningkat 21.29 mata kepada 1,637.81 daripada 1,616.52 minggu lepas.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 111.80 mata kepada 12,074.03, Indeks FBMT 100 meningkat 119.48 mata kepada 11,863.30, Indeks FBM Emas Shariah menambah 112.15 mata kepada 11,909.20 dan Indeks FBM 70 menokok 14.06 mata kepada 16,736.67 manakala Indeks FBM ACE merosot 57.95 mata kepada 4,758.19.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 210.37 mata kepada 19,221.70, Indeks Perladangan meningkat 55.02 mata kepada 8,151.27, Indeks Tenaga menambah 9.25 mata kepada 767.79 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 3.39 mata kepada 169.17.
Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 15.95 bilion unit bernilai RM11.27 bilion daripada 18.86 bilion unit bernilai RM13.40 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 7.07 bilion unit bernilai RM9.76 bilion daripada 7.01 bilion unit bernilai RM11.41 bilion sebelum ini.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 7.06 bilion unit bernilai RM904.42 juta daripada 10.05 bilion unit bernilai RM1.37 bilion minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 1.81 bilion unit bernilai RM590.79 juta daripada 1.78 bilion unit bernilai RM602.06 juta sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial