Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tokoh Korporat, Veteran Politik Megat Najmuddin Meninggal Dunia

13/12/2025 11:57 PM

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Tokoh korporat dan veteran politik Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas meninggal dunia akibat kanser pada usia 81 tahun, malam ini. 

Berita pemergian itu disahkan keluarga rapat Allahyarham, Shafinaz Suhaimi ketika dihubungi Bernama.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada 9 pagi esok bagi urusan pengurusan jenazah dan solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Terdahulu, berita pemergian Allahyarham dikongsikan anak saudaranya Puteri Kamaliah Megat Abu Bakar menerusi Facebook dan difahamkan arwah meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya. 

Megat Najmuddin pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kelana Jaya, Selangor selama dua penggal sejak 1986 selain pernah dilantik sebagai Anggota Lembaga Disiplin UMNO dan Pengerusi Lembaga Tatatertib Bersatu. 

Selain bidang politik, beliau juga pernah memegang jawatan utama dalam sektor korporat termasuk Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas Farm Fresh Berhad, Pengerusi Asian Pac Holdings Berhad dan Pengerusi Bukan Eksekutif dan Bukan Bebas Sime Darby Plantation Berhad. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan