PASARAN > BERITA

Prestasi Niaga Hadapan Serantau, Harga Minyak Pacu Pasaran Getah Ditutup Tinggi

06/10/2025 06:35 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia mengekalkan momentum dan ditutup tinggi pada Isnin, didorong oleh pengukuhan niaga hadapan serantau di tengah-tengah kebimbangan mengenai bekalan akibat musim hujan di negara-negara pengeluar utama, kata peniaga.

Bagaimanapun, peningkatan seterusnya harga komoditi itu dikekang oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan pasaran global yang ketara ketika penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang berterusan, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata harga minyak menokok lebih satu peratus pada Isnin selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) mengumumkan peningkatan pengeluaran lebih kecil daripada jangkaan awal pada November.

Langkah itu meredakan kebimbangan berkaitan penambahan bekalan walaupun unjuran permintaan yang suram sebaliknya mengehadkan pulangan dalam masa terdekat.

Setakat petang ini, harga minyak mentah Brent menokok 1.67 peratus pada paras US$65.61 setong.

Selain itu, beliau berkata niaga hadapan getah Jepun meningkat hari ini, didorong oleh kelemahan yen yang membolehkan pembeli asing membeli komoditi berkenaan.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia atau SMR 20 naik tujuh sen kepada 737.50 sen sekilogram manakala lateks pukal menokok 5 sen kepada 573.00 sen sekilogram.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan