PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Dijangka Diniaga Cenderung Menurun Minggu Depan

26/07/2025 10:41 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menurun pada minggu depan berikutan aktiviti pengambilan untung daripada kenaikan baru-baru ini.

Peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata stok minyak sawit pada Jun adalah tinggi, iaitu kira-kira dua juta tan.

Sehubungan itu, katanya harga dijangka diniagakan dalam julat kecil antara RM3,800 satu tan dan RM3,900 satu tan minggu depan.

"Permintaan fizikal bagi minyak sawit dijangka dari China, India, Pakistan, Timur Tengah dan negara-negara Eropah," katanya kepada Bernama.

Peniaga minyak sawit David Ng pula berkata pengeluaran dan paras stok MSM yang semakin meningkat di Malaysia akan menjadi tumpuan pasaran pada minggu depan.

Beliau berkata pengumuman Rusia mengenai penggantungan duti eksport bagi minyak bunga matahari seperti yang dilaporkan berkemungkinan mempunyai kesan jangka pendek ke atas harga MSM.

“Kami menjangkakan harga akan diniagakan antara RM4,150 satu tan dan RM4,300 satu tan minggu depan,” katanya.

Bagi asas mingguan, kontrak Ogos 2025 merosot RM41 kepada RM4,221 satu tan manakala kontrak September 2025 menyusut RM51 kepada RM4,258 satu tan dan kontrak Oktober 2025 rendah RM42 kepada RM4,273 satu tan.

Kontrak November 2025 rendah RM22 kepada RM4,283 satu tan, Disember 2025 kekal tidak berubah daripada minggu lepas pada RM4,290 satu tan dan Januari 2026 meningkat RM15 hingga RM4,290 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 385,858 lot daripada 555,657 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 229,303 kontrak daripada 237,735 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan rendah RM60 kepada RM4,230 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan