JOHOR BAHRU, 27 Julai (Bernama) -- Empat pegawai penguat kuasa yang disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 bagi kegiatan "pasport terbang" di kaunter penyeliaan zon masuk motor, sempadan Johor-Singapura direman enam hari bermula hari ini.
Perintah reman ke atas keempat-empat suspek berusia antara 20-an hingga 40-an itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru Mohammad Izham Mohd Aliyas.
Permohonan reman itu dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Media semalam melaporkan keempat-empat penguat kuasa itu ditahan di pejabat SPRM Johor kerana disyaki menerima rasuah bagi kegiatan "pasport terbang" dengan dua suspek utama telah ditahan Unit Pematuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) semasa pemeriksaan dilakukan di kaunter kelmarin sebelum diserahkan kepada SPRM.
Susulan penahanan itu, dua lagi pegawai penguat kuasa ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kegiatan berkenaan.
Hasil penahanan itu, sebanyak 14 pasport warga asing, empat telefon bimbit milik kedua-dua suspek utama serta wang rasuah bernilai kira-kira RM3,000 ditemukan dengan siasatan awal mendapati wang tunai dan telefon bimbit itu mempunyai kaitan transaksi rasuah melibatkan kegiatan berkenaan.
Memetik sumber media melaporkan bagi setiap satu pasport yang dicop tanpa kehadiran pemilik pasport, kesemua suspek akan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM200.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial