PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Pada Paras Tertinggi Intra Hari

24/07/2025 07:45 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi intra hari bagi sesi kedua berturut-turut pada Khamis, dipacu oleh keyakinan global dan pusingan terbaharu bantuan fiskal kerajaan yang menyebabkan pelabur kembali ke pasaran tempatan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 10.53 mata atau 0.69 peratus untuk ditutup pada paras tertinggi harian iaitu 1,540.32 daripada 1,529.79 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 1.26 mata lebih tinggi iaitu pada 1,531.05 dan bergerak dalam jajaran antara 1,529.71 hingga 1,540.32 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi iaitu sebanyak 502 berbanding 474 manakala 496 kaunter tidak berubah dan 1,044 tidak diniagakan dengan tujuh kaunter lagi digantung.

Namun begitu, jumlah dagangan turun kepada 2.97 bilion saham bernilai RM2.3 bilion daripada 3.27 bilion saham bernilai RM2.26 bilion pada Rabu.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata FBM KLCI diniagakan lebih kukuh, disokong oleh harapan iaitu keadaan paling buruk dalam isu tarif mungkin berlalu pergi.

Katanya, ini memandangkan perjanjian di antara Amerika Syarikat (AS) dengan Jepun dimeterai pada kadar 15 peratus berjaya memacu pasaran selain menyasarkan rakan dagang lain termasuk Malaysia yang berkemungkinan mencapai hasil serupa.

Hal ini, katanya, Malaysia juga berpotensi mengekalkan kadar tarif di bawah paras 20 peratus.

“Peralihan dalam jangkaan ini merangsang tahap kesediaan pelabur untuk mengambil risiko dalam pelaburan di seluruh Asia.

"Sementara itu, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai bantuan tunai RM100 kepada semua rakyat Malaysia dewasa serta subsidi harga bahan api yang disasarkan turut menyuntik rangsangan tempatan sekali gus mengukuhkan permintaan terhadap ekuiti domestik. Dirangsang oleh keyakinan global dan bantuan fiskal kerajaan, pelabur kembali aktif dalam pasaran,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata lonjakan mendadak pada saat-saat akhir dagangan meningkatkan indeks komposit, menunjukkan keyakinan semula pelabur serta pengumpulan jangka pendek menjelang peristiwa penting makroekonomi global.

“Sentimen pasaran disokong oleh pengumuman rangsangan fiskal terkini kerajaan berjaya mencipta sokongan bagi aset berisiko.

"Yang penting, dana asing beralih kepada pelabur yang membeli lebih banyak saham pada hari tersebut, menandakan perubahan sentimen yang kemungkinan dipacu oleh kepercayaan terhadap kredibiliti dan orientasi mesra pasaran bagi langkah fiskal baharu ini,” katanya.

Mohd Sedek menjelaskan iaitu dalam kalangan konstituen FBM KLCI, saham petrokimia menerajui kenaikan, mencerminkan keyakinan khusus sektor dalam keadaan isyarat peningkatan permintaan global serta perkembangan positif dalam rundingan perdagangan.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meneruskan aliran kenaikan berturut-turut, disokong oleh jangkaan berkaitan perjanjian perdagangan AS-Jepun yang baru diumumkan dan dilihat oleh pasaran sebagai petunjuk pasaran yang menguntungkan bagi penyusunan semula perdagangan serantau.

“Dengan tarikh akhir bagi rundingan tarif yang sedang berlangsung semakin hampir, perjanjian dua hala terkini oleh Indonesia, Jepun dan Filipina mengurangkan ketidaktentuan luaran selain meningkatkan kesediaan pelabur terhadap kaunter berorientasikan eksport.

"Terdapat keyakinan yang semakin meningkat iaitu AS mungkin mengurangkan kadar tarif 25 peratus yang dicadangkan ke atas barangan Malaysia sekali gus memperbaiki prospek luaran,” katanya.

Di peringkat serantau, indeks Hang Seng Hong Kong naik sebanyak 0.51 peratus untuk ditutup pada 25,667.18, Indeks Straits Times Singapura naik 0.97 peratus kepada 4,272.48 dan Kospi Korea Selatan menokok 0.21 peratus kepada 3,190.45.

Indeks Nikkei 225 Jepun pula melonjak 1.56 peratus kepada 41,826.34.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank memperoleh empat sen kepada RM9.63, Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.31, Tenaga Nasional tidak berubah pada RM13.94, CIMB dan IHH Healthcare bertambah tiga sen pada RM6.70 dan RM6.65.

Kaunter untung utama  diterajui oleh Nestle yang melonjak RM5.42 kepada RM82.32, Petronas Dagangan naik 50 sen kepada RM21.50, BLD Plantation berkembang 42 sen kepada RM10.92 manakala PPB Group dan Petronas Chemicals masing-masing melonjak 32 sen kepada RM9.62 dan RM3.69.

Antara saham paling aktif, Zetrix turun tiga sen kepada 91.5 sen, Tanco kekal pada 91.5 sen, NexG merosot setengah sen kepada 51.5 sen, Lotte Chemicals naik 11 sen kepada 70.5 sen manakala Tan Chong menyusut satu sen kepada 86.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkembang 56.63 mata kepada 11,551.17, Indeks FBMT 100 meningkat 60.40 mata kepada 11,314.56 manakala Indeks FBM Emas Syariah naik 64.48 mata kepada 11,580.96.

Indeks FBM 70 bertambah 14.78 mata kepada 16,658.87 manakala Indeks FBM ACE menyusut 22.54 mata kepada 4,642.51.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian melonjak 2.73 mata kepada 158.16, Indeks Perladangan naik 58.52 mata kepada 7,469.96, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkembang 75.33 mata kepada 17,505.58 manakala Indeks Tenaga turun 4.50 mata kepada 738.68.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurang kepada 1.37 bilion unit bernilai RM1.96 bilion daripada 1.44 bilion unit bernilai RM1.89 bilion.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.24 bilion unit bernilai RM207.50 juta daripada 1.52 bilion unit bernilai RM257.66 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 220.6 juta saham diniagakan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (278.27 juta), pembinaan (97.53 juta), teknologi (261.82 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (61.28 juta), hartanah (177.63 juta), perladangan (14.89 juta), REIT (22.3 juta), dana tertutup (tiada), tenaga (64.42 juta), penjagaan kesihatan (57.49 juta), telekomunikasi dan media (40.4 juta), pengangkutan dan logistik (28.64 juta), utiliti (42.42 juta) serta amanah perniagaan (62,600).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan