Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, didorong oleh sentimen optimis bahawa Malaysia mampu meraih perjanjian dagangan lebih menarik dalam rundingan tarif dengan Washington, kata penganalisis.
Keyakinan itu juga menyaksikan pengukuhan nilai ringgit yang merupakan prestasi bagi hari kelima berturut-turut.
Pada 6 petang, ringgit meningkat ke paras 4.2135/2210 berbanding dolar AS daripada 4.2255/2300, semalam.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia kini giat berunding dengan AS berhubung kadar tarif 25 peratus yang dijangka berkuat kuasa pada 1 Ogos dengan sasaran pengurangan di bawah 20 peratus.
Mengulas perkembangan itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata sentimen positif itu turut didorong langkah Presiden Donald Trump memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan Jepun pada Selasa lepas dengan pengurangan tarif import barangan Jepun kepada 15 peratus daripada 25 peratus.
“Kesemua perkembangan ini hanya menyemarakkan lagi harapan bahawa strategi tarif AS secara meluas telah beralih daripada konfrontasi kepada kompromi.
“Bersandarkan keadaan itu juga, pelabur melihat Malaysia sebagai berkemungkinan besar meraih manfaat dalam perjanjian dua hala seterusnya,” katanya kepada Bernama.
Innes berkata pengukuhan nilai ringgit baru-baru ini juga hanya menyerlahkan potensinya untuk muncul sebagai penerima manfaat daripada keadaan perdagangan yang bertambah baik susulan perjanjian AS dan Jepun.
Pada akhir sesi urus niaga hari ini, ringgit juga mencatat prestasi lebih mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.
Ini termasuk naik berbanding yen Jepun kepada 2.8751/8804 daripada 2.8837/8870, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7080/7182 daripada 5.7230/7291 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.9517/9605 daripada 4.9586/9639.
Nilai ringgit juga meningkat berbanding mata wang serantau, kecuali peso Filipina.
Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2995/3057 daripada 3.3071/3109, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0570/0863 daripada 13.1370/1567 dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 258.5/259.1 daripada 259.1/259.5.
Namun, nilai ringgit susut sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.43/7.45 daripada 7.42/7.44 semalam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial