Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup hampir tidak berubah pada Isnin, dengan indeks utama susut 0.08 peratus, mencerminkan sentimen pasaran yang berhati-hati di tengah-tengah perkembangan domestik yang bercampur-campur.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.27 mata kepada 1,524.59 daripada paras 1,525.86 pada Jumaat minggu lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 0.60 mata kepada 1,526.86 dan bergerak antara paras 1,520.02 dan 1,526.46 sepanjang sesi dagangan.
Suasana pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 607 berbanding 342 manakala 504 kaunter tidak berubah, 1,014 tidak diniagakan dan tujuh digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.5 bilion saham bernilai RM2.68 bilion daripada 3.18 bilion saham bernilai RM2.81 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, sentimen optimis dilihat di seluruh Asia, namun tekanan jualan masih terus berlaku di pasaran sedang pesat membangun.
"Kami percaya dana pelabur beralih ke pasaran ekuiti Hong Kong dan China. Di pasaran tempatan, jualan runcit dan asing yang berterusan mencerminkan sentimen tunggu dan lihat yang berhati-hati. Namun begitu, FBM KLCI mendapat sokongan melepasi paras 1,520.
"Kami berpandangan jualan hari ini menawarkan peluang membeli saham berharga rendah, oleh itu kami menjangkakan indeks utama diniagakan dalam jajaran 1,510-1,540 bagi minggu ini," katanya.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berpendapat pelabur sedang menilai berita siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), minggu lepas berhubung dakwaan rasuah melibatkan tender projek pusat data.
“Walaupun pada awalnya terdapat kebimbangan, namun kesan daripada penyiasatan nampaknya terhad kepada kaunter terpilih sahaja, tanpa sebarang petanda akan menular lebih meluas.
“Ini jelas ditunjukkan menerusi prestasi pasaran hari ini, apabila kaunter yang berkaitan dengan pusat data, telekomunikasi dan perindustrian berada dalam senarai antara saham untung utama, menunjukkan bahawa sentimen pelabur terhadap sektor ini masih kukuh,” katanya.
Mohd Sedek juga berkata pelabur dijangka mengambil pendekatan lebih berpilih, menilai semula pendedahan dalam sektor pusat data dan teknologi dan bukan sebaliknya mengambil langkah menjual saham secara besar-besaran.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional tidak berubah pada RM9.52 dan RM13.78, Public Bank turun satu sen kepada RM4.30, CIMB naik satu sen kepada RM6.52 dan IHH meningkat enam sen kepada RM6.63.
Dalam kalangan saham paling cergas, SunCon turun 49 sen kepada RM5.49, NexG naik satu sen kepada 50.5 sen, Pharmaniaga meningkat 6.5 sen kepada 22 sen manakala Tanco turun setengah sen kepada 90.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 17.90 mata kepada 11,461.93, Indeks FBMT 100 berkurangan 16.87 mata kepada 11,224.82 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 28.16 mata kepada 11,509.71.
Indeks FBM 70 menyusut 57.84 mata kepada 16,639.88, manakala Indeks FBM ACE turun 34.11 mata kepada 4,637.68.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.26 mata kepada 155.64 manakala Indeks Tenaga naik 0.37 mata kepada 739.50.
Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 34.42 mata kepada 17,320.41 dan Indeks Perladangan turun 20.85 mata kepada 7,421.04.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.37 bilion unit bernilai RM2.26 bilion daripada 1.50 bilion unit bernilai RM2.46 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Jumlah dagangan waran turun kepada 1.22 bilion unit bernilai RM165.20 juta daripada 1.38 bilion unit bernilai RM207.39 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 1.75 bilion unit bernilai RM265.27 juta daripada 466.10 juta unit bernilai RM188.24 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 172.67 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (201.75 juta), pembinaan (228.01 juta), teknologi (236.67 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (47.02 juta), hartanah (194.93 juta), perladangan (9.49 juta), REITs (25.75 juta), dana tertutup (12,600), tenaga (64.32 juta), penjagaan kesihatan (125.75 juta), telekomunikasi dan media (24.54 juta), pengangkutan dan logistik (23.96 juta), utiliti (23.55 juta), dan amanah perniagaan (33,500).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial