KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka tinggi sedikit tetapi rendah kemudiannya pada Jumaat dalam situasi trend pasaran serantau bercampur-campur dan kekurangan pemangkin baharu, kata penganalisis.
Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk pasaran naik 0.91 mata atau 0.06 peratus kepada 1,536.61 daripada 1,536.52 pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran sebelum itu dibuka tinggi 1.36 mata kepada 1,537.88.
Bagaimanapun, pasaran secara keseluruhan positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 143 berbanding 139 manakala 267 kaunter tidak berubah, 1,869 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 121.49 juta saham bernilai RM58.81 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sokongan belian dijangka meluas ke bursa tempatan terutamanya sektor teknologi berikutan kenaikan berterusan dalam saham syarikat semikonduktor.
“Pelabur dijangka memantau sektor hartanah berikutan persekitaran kadar faedah yang rendah akan meningkatkan sentimen pasaran hartanah selepas keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Katanya Wall Street meningkat semalaman apabila Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengesahkan potensi penurunan kadar faedah pada tahun ini walaupun ancaman tarif baharu oleh Presiden AS Donald Trump terhadap Brazil dan import tembaga yang mengekalkan ketegangan selain risiko terhadap sektor tertentu yang menjadi tumpuan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat satu sen kepada RM9.74, Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM13.98, bagaimanapun CIMB merosot satu sen kepada RM6.69 manakala Public Bank dan IHH Healthcare, masing-masing mendatar pada RM4.30 dan RM6.65.
Dalam dagangan aktif, A1 AK Koh yang mula disenaraikan di Pasaran ACE kekal mendatar pada 25 sen, Zetrix AI naik 1.5 sen kepada 99.5 sen, NexG menambah setengah sen kepada 45 sen, Muhibbah meningkat 3.5 sen kepada 65.5 sen manakala TWL berkurangan setengah sen kepada 2.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 2.72 mata kepada 11,525.61, Indeks FBMT 100 berkurangan 3.33 mata kepada 11,289.80 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 2.95 mata kepada 11,511.69.
Indeks FBM 70 meningkat 9.90 mata kepada 16,665.50 manakala Indeks FBM ACE naik 5.85 mata kepada 4,522.42.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 6.69 mata kepada 17,615.69, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.18 mata kepada 153.36, Indeks Perladangan menurun 1.74 mata kepada 7,459.52, bagaimanapun Indeks Tenaga naik 0.15 mata kepada 736.77.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial