Oleh Harizah Hanim Mohamed & Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Pembelian saham perbankan ketika saat-saat akhir dagangan mendorong Bursa Malaysia ditutup di paras tertinggi harian pada Khamis, dengan indeks utama meningkat 0.48 peratus, sejajar dengan sentimen serantau yang bertambah baik.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.28 mata kepada 1,536.52 daripada 1,529.24 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 2.19 mata lebih tinggi kepada 1,531.43 dan kemudian mencecah paras terendah 1,523.25 pada awal dagangan.
Keseluruhan pasaran adalah positif, dengan 514 kaunter untung mengatasi 406 kaunter rugi, manakala 540 kaunter tidak berubah, 958 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.25 bilion saham bernilai RM2.45 bilion daripada 2.95 bilion saham bernilai RM1.99 bilion pada Rabu.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI mengakhir penurunan selama tiga hari, hari ini.
Beliau berkata prestasi itu dipacu oleh kenaikan semula saham perbankan.
“Saham pengguna juga menunjukkan aliran meningkat yang berterusan memandangkan pengurangan kadar dasar semalaman oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka memberi manfaat kepada sektor pengguna apabila kos pinjaman menjadi lebih rendah dan perbelanjaan pilihan pula bertambah baik.
“Saham kewangan cenderung mendapat manfaat daripada pelonggaran dasar monetari, kerana kos pinjaman yang lebih rendah lazimnya meningkatkan permintaan kredit, kualiti pinjaman bertambah baik, dan menyokong aktiviti ekonomi. Semua faktor ini menambah baik prospek pendapatan bagi sektor perbankan," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun pelabur asing kekal sebagai penjual bersih dalam pasaran modal tempatan, menandakan kewaspadaan kalangan pelabur yang berterusan, katanya.
“Walaupun perubahan dasar sepatutnya, secara prinsip, mengukuhkan sentimen pelabur namun, kebimbangan terhadap pemecahan perdagangan dan cabaran luaran terus menjejaskan minat risiko," tambahnya.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata cabaran luaran seperti kenaikan tarif AS dan ketegangan yang berterusan di Timur Tengah terus menjadi cabaran besar bagi indeks penanda aras tempatan.
"Terdapat keyakinan yang meningkat bahawa kerajaan akan mencapai persetujuan untuk mengurangkan impak daripada langkah tarif Presiden AS, Donald Trump.
“Bagi bursa tempatan, mengekalkan semula paras 1,530 merupakan pencapaian teknikal yang penting bagi indeks ini. Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,530 hingga 1,550 menjelang hujung minggu," katanya.
Nestle mengetuai sektor pengguna, naik 40 sen kepada RM78.80, diikuti oleh Hong Leong Industries yang menambah 26 sen kepada RM13.66.
Antara kaunter wajaran tinggi, Maybank menokok tiga sen kepada RM9.73, Public Bank naik empat sen kepada RM4.30 dan CIMB meningkat 13 sen kepada RM6.70.
Bagaimanapun, Tenaga Nasional turun empat sen kepada RM13.96, dan IHH Healthcare susut dua sen kepada RM6.65.
Antara saham aktif, Zetrix AI naik 2.5 sen kepada 98 sen, manakala Sapura Energy, Eco-Shop dan NexG masing-masing kekal pada empat sen, RM1.27 dan 44.5 sen manakala Tanco menokok satu sen kepada 90 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 44.11 mata kepada 11,528.33, Indeks FBMT 100 meningkat 43.59 mata kepada 11,293.13 dan Indeks FBM Emas Syariah bertambah 21.85 mata kepada 11,508.74.
Indeks FBM 70 meningkat 20.66 mata kepada 16,655.60, manakala Indeks FBM ACE bertambah 19.94 mata kepada 4,516.57.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 116.89 mata kepada 17,622.38, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.32 mata kepada 153.54, manakala Indeks Perladangan menguncup 17.82 mata kepada 7,461.26 dan Indeks Tenaga turun 0.28 mata kepada 736.62.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat sedikit kepada 1.32 bilion unit bernilai RM2.17 bilion daripada 1.31 bilion unit bernilai RM1.74 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran naik kepada 1.69 bilion unit bernilai RM190.86 juta daripada 1.25 bilion unit bernilai RM134.91 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE pula merosot kepada 241.47 juta unit bernilai RM86.17 juta daripada 382.69 juta unit bernilai RM116.98 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 230.09 juta saham diniagakan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (177.06 juta), pembinaan (127.04 juta), teknologi (213.35 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (75.64 juta), hartanah (189.39 juta), perladangan (18.59 juta), REIT (28.44 juta), dana tertutup (3,000), tenaga (98.31 juta), penjagaan kesihatan (49.10 juta), telekomunikasi dan media (32.35 juta), pengangkutan dan logistik (25.44 juta), utiliti (57.80 juta), dan amanah perniagaan (102,200)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial