Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Isnin berikutan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu ini dengan jangkaan meningkat terhadap potensi penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR), kata penganalisis.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2060/2320 berbanding dolar AS daripada 4.2180/2260 pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata OPR dijangka diturunkan sebanyak 25 mata asas berdasarkan ketidaktentuan ekonomi yang meningkat berpotensi menjejaskan momentum pertumbuhan separuh kedua tahun ini.
“Oleh itu, terdapat justifikasi yang jelas untuk BNM menyokong pertumbuhan,” katanya kepada Bernama.
Katanya peniaga turut kekal berhati-hati terhadap dolar AS berikutan pelabur dan peniaga masih menantikan kejelasan menjelang tarikh akhir penangguhan tarif Amerika Syarikat (AS), yang juga pada Rabu ini.
“Tumpuan akan tertumpu kepada tarikh akhir pada Rabu ini berkaitan tarif AS yang telah ditangguhkan selama 90 hari sejak 9 April lepas.
“Pada masa sama, negara anggota OPEC+ bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran minyak mereka sebanyak 548,000 tong sehari pada Ogos 2025, menunjukkan komitmen pengeluar minyak untuk memulihkan bekalan minyak global,” katanya.
Berdasarkan ketidaktentuan tarif yang berterusan, Mohd Afzanizam berkata ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati antara RM4.22 dan RM4.23 hari ini.
“Ringgit meningkat sebanyak 0.3 peratus minggu ke minggu berbanding dolar AS minggu lepas, mencecah paras setinggi RM4.1980 pada 1 Julai,” katanya.
Pada sesi pembukaan, ringgit tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9115/9297 daripada 2.9225/9282, mengukuh berbanding pound kepada 5.7412/7767 daripada 5.7601/7710 dan naik berbanding euro kepada 4.9542/9849 daripada 4.9675/9770.
Mata wang tempatan turut meningkat berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.
Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3006/3213 daripada 3.3114/3182, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9823/13.0730 daripada 13.0302/0609, menambah berbanding rupiah Indonesia kepada 259.8/261.5 daripada 260.6/261.2 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.45/7.50 daripada 7.47/7.49 sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial