MELAKA, 7 Julai (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik (FTKE) membantu penanaman tembikai baka premium atau golden melon (Cucumis melo var inodorus) secara fertigasi Kampung Pulau, Masjid Tanah di sini bagi meningkatkan ekonomi penduduk.
Ketua penyelidik yang juga ketua projek Prof Madya Dr Muhammad Herman Jamaluddin berkata teknologi moden melibatkan penggunaan sistem siraman automatik yang mengalirkan baja ke setiap polibeg pokok mengikut waktu ditetapkan itu, mula dilaksanakan November lepas.
Beliau berkata projek itu diusahakan sepenuhnya oleh sekumpulan penduduk Kampung Pulau dengan mereka diberikan ilmu berkaitan penggunaan sistem tersebut termasuk teknik pembajaan, pengurusan air, kawalan perosak dan penyakit sejak musim pertama tanaman itu diusahakan.
“Sistem berkenaan mengawal kepekatan baja agar mengikut standard ditetapkan bagi menghasilkan buah tembikai gred premium yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.
“Sistem itu juga dilengkapi dengan integrasi proses pencahayaan lampu tumbesaran bagi merangsang fotosintesis pada waktu malam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata bagi tanaman musim pertama, sebanyak 300 polibeg anak pokok golden melon ditanam dan hasil jualan buah itu digunakan untuk meningkatkan kapasiti tanaman kepada 420 polibeg pada musim kedua.
Menerusi teknologi itu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pulau menjangkakan hasil jualan tuaian musim kedua berpotensi mencecah RM4,000, iaitu peningkatan hampir dua kali ganda berbanding musim sebelumnya.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata pencapaian itu antara kejayaan UTeM menerusi perkongsian kepakaran dimiliki UTeM dalam meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
Beliau berkata ia juga menunjukkan komitmen UTeM dalam menjayakan Program Kampung Angkat MADANI-Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang diterajui UTeM melalui Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka (RICE).
“Melalui projek seperti ini, UTeM dapat menyumbang kepakaran, teknologi dan idea kreatif untuk menyelesaikan masalah tempatan, sekali gus meningkatkan taraf hidup komuniti setempat.
“Projek inovasi universiti kepada komuniti bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat tetapi juga memberikan pengalaman praktikal kepada pelajar dan pensyarah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial