PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Dipacu Prestasi Serantau, Sentimen Positif Timur Tengah

25/06/2025 07:09 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup dalam wilayah positif hari ini apabila indeks utama itu naik 0.36 peratus disokong sentimen optimis menyeluruh yang tercetus berikutan perkembangan positif di Timur Tengah dan peningkatan pasaran utama serantau, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.50 mata kepada 1,519.79 daripada 1,514.29. ketika ditutup pada Selasa.

  FBM KLCI dibuka 4.38 mata lebih kukuh pada 1,518.67, kemudian naik mencecah paras tertinggi intra hari kepada 1,524.71, namun menyusut dan mencecah paras terendah harian 1,515.86 pada lewat sesi petang.

Pasaran secara keseluruhannya adalah positif dengan 577 kaunter untung mengatasi 389 kaunter rugi, manakala 480 kaunter tidak berubah, 997 tidak diniagakan dan 25 digantung.

Jumlah dagangan menokok kepada  3.15 bilion unit bernilai RM2.27 bilion daripada 2.53 bilion unit bernilai RM2.04 bilion yang dicatatkan pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran utama serantau ditutup tinggi susulan laporan gencatan senjata konflik Iran dan Israel, sekali gus memacu sentimen pelabur dan minat terhadap aset berisiko. 

"Di peringkat domestik, kami melihat gencatan senjata Israel-Iran sebagai faktor positif kepada sentimen pasaran kerana ketegangan geopolitik yang semakin reda menyumbang kepada persekitaran global yang lebih stabil.

“Kami kekal optimis rundingan damai akan terus berlangsung, dan menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat antara 1,520 hingga 1,530 menjelang hujung minggu,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata peningkatan dalam jumlah dagangan mencerminkan kemunculan semula penyertaan yang lebih meluas dalam pasaran.

“Paras aktiviti dagangan ini, bersama penyertaan sektor yang pelbagai, menunjukkan peningkatan keterlibatan pelabur selepas beberapa minggu berada dalam mod dagangan berhati-hati.

“Walaupun kami mengekalkan pandangan yang positif namun berhati-hati, turun naik dijangka kekal sebagai ciri utama pasaran dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing susut satu sen kepada RM9.79 dan RM4.30, manakala Tenaga Nasional turun dua sen kepada RM14.24, CIMB kekal pada RM6.77, dan IHH Healthcare meningkat 11 sen kepada RM6.70.

Bagi saham paling aktif, Reservoir Link susut 8.5 sen kepada 22.5 sen, Tanco turun satu sen kepada 93 sen, manakala MYEG naik 1.5 sen kepada 93.5 sen, NationGate menambah lapan sen kepada RM1.62 dan NexG kekal pada 35.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 58.53 mata kepada 11,346.56, Indeks FBMT 100 meningkat 56.08 mata kepada 11,128.40 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 77.63 mata kepada 11,301.78.

Indeks FBM 70 menambah 151.12 mata kepada 16,230.10 manakala Indeks FBM ACE meningkat 41.26 mata kepada 4,458.97.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 15.47 mata kepada 17,663.00, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.24 mata kepada 150.21, Indeks Perladangan meningkat 1.16 mata kepada 7,230.19, dan Indeks Tenaga menokok 0.22 mata kepada 728.11.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat sedikit kepada 1.34 bilion unit bernilai RM1.96 bilion berbanding 1.33 bilion unit bernilai RM1.83 bilion pada Selasa.

Dagangan waran naik kepada 1.48 bilion unit bernilai RM193.88 juta daripada 962.11 juta unit bernilai RM125.76 juta sebelum itu.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 332.13 juta unit bernilai RM111.47 juta berbanding 241.75 juta unit bernilai RM88.63 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 215.78 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (238.68 juta), pembinaan (89.11 juta), teknologi (178.84 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (66.04 juta), hartanah (137.47 juta), perladangan (19.05 juta), REIT (31.49 juta), dana tertutup (4,000), tenaga (162.17 juta), penjagaan kesihatan (78.26 juta), telekomunikasi dan media (53.71 juta), pengangkutan dan logistik (196.23 juta), utiliti (49.48 juta) dan amanah perniagaan (13,700).

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan