PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Berikutan Kejatuhan Harga Minyak Mentah

24/06/2025 09:56 PM

Oleh K Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini, terjejas disebabkan penurunan harga minyak mentah dan minyak kacang soya.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata penurunan harga itu didorong terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin mereda di Timur Tengah.

“Harga MSM susut di bawah paras RM4,000 setan apabila ketegangan yang semakin reda di Timur Tengah menjejaskan sentimen pasaran.

“Kami mendapati paras sokongan pada RM3,900 setan dan paras rintangan pada RM4,150 setan,” katanya kepada Bernama.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM diniagakan jauh lebih rendah, dengan kontrak September yang paling aktif jatuh ke paras terendah dalam tempoh tujuh hari.

“Penurunan ini didorong oleh tekanan luaran daripada kejatuhan harga minyak mentah, pengukuhan ringgit dan kemerosotan dalam niaga hadapan minyak sayuran yang berkaitan,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Julai susut RM124 kepada RM3,963 setan, manakala Ogos 2025 merosot RM137 kepada RM3,982 setan dan September 2025 jatuh RM143 kepada RM3,983 setan.

Kontrak Oktober 2025 menyusut RM145 kepada RM3,980 setan, November 2025 turun RM144 kepada RM3,984 setan dan Disember 2025 berkurang RM145 kepada RM3,996 setan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 89,335 lot berbanding 50,757 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka menurun kepada 231,437 kontrak berbanding 231,757 kontrak sebelum ini.

Harga fizikal MSM untuk Julai Selatan menurun sebanyak RM100 kepada RM4,000 setan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan