KUANTAN, 27 Jun (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Maal Hijrah kepada umat Islam di negeri ini dan di seluruh negara.
Baginda berdua menerusi hantaran di Facebook hari ini, menyifatkan tahun baharu Hijrah ialah simbol kepada pengorbanan, ketabahan dan permulaan kepada perubahan yang lebih baik dalam kehidupan.
“Tahun baharu hijrah merupakan saat yang amat penting dalam sejarah Islam. Ia bukan sekadar peringatan terhadap penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, tetapi lebih besar daripada itu,” titah baginda berdua.
Baginda berdua menyeru seluruh umat Islam untuk bermuhasabah serta memperkukuh azam menjadi insan bertakwa dan bermanfaat kepada keluarga, masyarakat serta negara.
Selain itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut mendoakan seluruh rakyat di negeri ini diberikan keberkatan, kesihatan, keselamatan serta kekuatan iman dan perpaduan dalam mengharungi cabaran masa ini dan akan datang.
“Marilah kita jadikan tahun baharu Hijrah ini sebagai medan untuk memperkukuh ukhuwah islamiah, mempertingkatkan ilmu, dan memperkasakan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian,” menurut hantaran itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial