PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Diniagakan Berhati-hati Minggu Depan

21/06/2025 10:09 AM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani and Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan secara berhati-hati minggu depan, sejajar dengan prestasi bursa tempatan dan Wall Street, kata penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka tumpuan pasaran pada minggu depan akan tertumpu kepada beberapa data ekonomi utama Amerika Syarikat (AS), termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan tuntutan pengangguran.

“FBM KLCI kini diniagakan sebanyak 12 kali nisbah harga kepada pendapatan bagi 2025, di bawah purata jangka panjangnya sebanyak lebih 16 kali, menunjukkan potensi kepada kenaikan seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata indeks petunjuk pasaran berada hampir 1,500 mata dan melepasi paras ini boleh mewujudkan belian oleh pelabur institusi, terutamanya apabila indeks menghampiri paras sokongan terdekat pada 1,490 mata.

“Walaupun panduan daripada Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS telah menyebabkan sentimen berhati-hati, pasaran dijangka mendapat sokongan pada paras yang lebih rendah apabila penilaian menjadi lebih menarik.

“Ketidaktentuan yang didorong oleh faktor geopolitik selalunya bersifat sementara dan kami menjangka sentimen risiko akan berkurangan apabila kebimbangan ini mereda,” katanya.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak Jun 2025 merosot 16 mata kepada 1,496.0, Julai 2025 berkurangan 16.5 mata kepada 1,494.0, September 2025 susut 17 mata kepada 1,475.0 dan Disember 2025 jatuh 17.5 mata kepada 1,480.0.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 30,975 lot daripada 22,132 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka naik kepada 44,764 kontrak daripada 40,297 kontrak sebelum ini.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, indeks barometer merosot 15.37 mata kepada 1,502.74 daripada 1,518.11 pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan