Oleh Zarul Effendi Razali
KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif dijangka kekal dalam jajaran kecil pada jangka masa terdekat berikutan ketiadaan perkembangan penting, sambil berhati-hati terhadap sebarang tanda-tanda kemerosotan ke atas kestabilan di Timur Tengah.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pada akhir minggu lalu, harga emas susut apabila pasaran mentafsirkan kenyataan Donald Trump mengenai tempoh dua minggu bagi kemungkinan serangan ke atas Iran sebagai jeda daripada peningkatan ketegangan geopolitik secara serta-merta.
"Tanpa sebarang tindakan ketenteraan segera oleh Amerika Syarikat, para peniaga mengambil peluang untuk mengurangkan sebahagian daripada posisi belian strategik mereka, sekali gus menyebabkan momentum kenaikan harga emas baru-baru ini menjadi perlahan.
“Walaupun beberapa penganalisis berpendapat penangguhan ini mungkin merupakan taktik untuk memberi tekanan kepada Tehran supaya kembali ke meja rundingan, risiko serantau secara keseluruhannya kekal tinggi," katanya.
Beliau berkata Israel terus mengekalkan pendiriannya yang tegas dan sebarang peningkatan ketegangan secara mendadak di Tel Aviv atau Tehran boleh merangsang semula dengan cepat permintaan terhadap emas sebagai aset selamat,” katanya kepada Bernama.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Jun 2025 susut kepada US$3,360.00 setiap auns troy daripada US$3,430.20 setiap auns troy, manakala kontrak Julai 2025 turun kepada US$3,366.50 setiap auns troy daripada US$3,438.70 setiap auns troy.
Kontrak Ogos 2025, September 2025 dan Oktober 2025 masing-masing melemah kepada US$3,388.60 setiap auns troy daripada US$3,458.20 setiap auns troy.
Jumlah dagangan meningkat kepada 321 lot daripada 260 lot yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka susut kepada 31 kontrak daripada 50 kontrak sebelumnya.
Menurut penetapan London Bullion Market Association pada 19 Jun, 2025, harga emas fizikal berada pada US$3,368.90 setiap auns troy.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial