PASARAN > BERITA

Harga Minyak Naik Berikutan Konflik Israel-Iran, Lonjak Saham-Saham Tenaga Bursa Malaysia

13/06/2025 07:55 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Serangan tentera Israel ke atas Iran awal hari ini telah menyebabkan harga minyak meningkat dengan ketara, sekali gus melonjakkan Indeks Tenaga Bursa Malaysia sebanyak 2.01 peratus kepada 740.76 mata berbanding 726.13 mata ketika ditutup semalam.

Ketika ini, minyak mentah Brent diniagakan pada harga US$74.30 setong.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata memandangkan skala dan kepentingan strategik Iran dalam pasaran minyak global, kejutan semasa boleh menghasilkan impak sehingga dua atau bahkan tiga kali ganda berbanding kejadian sebelum ini.

“Pasaran sebelum ini mengunjurkan harga minyak mentah Brent akan terus turun, dengan purata US$61 setong menjelang akhir tahun dan US$59 setong pada 2026.

“Bagaimanapun, unjuran harga ini terganggu secara tiba-tiba berikutan serangan Israel ke atas kemudahan nuklear Iran awal hari ini, yang menyebabkan harga minyak meningkat secara mendadak,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kejutan geopolitik seperti itu telah mencetuskan pemilihan kepada sektor lain dengan segera dalam kalangan pelabur yang ingin memindahkan semula risiko.

Mohd Sedek berkata ketegangan yang meningkat membabitkan dua negara pengeksport minyak utama berpotensi membawa kepada kesan yang lebih ketara dan berterusan.

Memetik konflik Rusia-Ukraine, beliau berkata harga minyak mentah Brent meningkat dengan ketara dari 24 Februari hingga 8 Mac, 2022.

“Apa yang ketara, harga sudah menunjukkan trend kenaikan sebelum pencerobohan (Rusia), meningkat daripada US$73 setong pada Disember 2021 kepada US$93 setong menjelang akhir Februari.

“Sama seperti sekarang, harga Brent sudah berada dalam trend kenaikan sebelum peningkatan ketegangan hari ini, dengan harga naik kepada sekitar US$70 setong,” kata beliau.

Mengenai unjuran, beliau berkata pasaran kini sedang dalam proses menilai semula risiko geopolitik, dengan harga minyak mentah Brent berpotensi meningkat melebihi US$80 setong.

“Dalam jangka pendek, ini memberikan peluang taktikal untuk perdagangan sektor minyak dan gas. Berbeza dengan lonjakan harga yang hanya bertahan sekitar dua minggu semasa fasa awal perang Rusia-Ukraine, tempoh kejutan harga minyak kali ini dijangka lebih berpanjangan,” tambah beliau.

Pada 5 petang, harga saham Petron Malaysia meningkat 14 sen kepada RM3.88, Hengyuan Refining Company naik 13 sen kepada RM1.85, Hibiscus Petroleum menokok 11 sen kepada RM1.66, manakala Deleum bertambah sembilan sen kepada RM1.54.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan