Oleh K Naveen Prabu & Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) ditutup lebih rendah dua hari berturut-turut susulan dipengaruhi kebimbangan terhadap unjuran bekalan yang semakin meningkat.
Menurut laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) semalam, Malaysia menghasilkan 1.77 juta tan MSM pada Mei, meningkat sebanyak 5.1 peratus daripada 1.69 juta tan pada bulan sebelumnya.
Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr. Sathia Varqa berkata Malaysia dan Indonesia kini berada dalam musim pengeluaran tinggi walaupun pengeluaran Malaysia dijangka perlahan pada Jun selepas mencatatkan peningkatan selama tiga bulan berturut-turut.
“Persatuan Pengilang Minyak Sawit Selatan Semenanjung melaporkan pengeluaran dalam 10 hari pertama Jun menyusut sebanyak 17.24 peratus daripada tempoh yang sama pada Mei sekali gus membalikkan peningkatan 19 peratus yang dicatatkan dalam lima hari pertama bulan tersebut,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Kumpulan Sunvin yang berpusat di Mumbai Anilkumar Bagani berkata pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat dan permintaan yang lemah dari destinasi selain India turut menjejaskan sentimen pasaran tempatan untuk membeli komoditi yang bernilai itu.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Jun 2025 turun sebanyak RM30 kepada RM3,846 setiap tan, Julai 2025 menurun RM30 kepada RM3,842 setiap tan dan Ogos 2025 susut RM25 kepada RM3,839 setiap tan.
Kontrak September 2025 merosot sebanyak RM22 kepada RM3,839 setiap tan, Oktober 2025 menyusut RM19 kepada RM3,840 setiap tan dan November 2025 berkurangan RM15 kepada RM3,846 setiap tan.
Jumlah dagangan mengecil kepada 54,747 lot daripada 68,659 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka menurun kepada 180,901 kontrak berbanding 247,754 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM untuk Jun Selatan turun sebanyak RM50 kepada RM3,890 setiap tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial