PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

17/06/2025 09:50 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman & K Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini berikutan kejatuhan harga minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).

Peniaga minyak sawit David Ng berkata kebimbangan terhadap pengeluaran yang meningkat turut mempengaruhi sentimen pasaran.

“Kami mendapati paras sokongan pada RM4,000 setan dan paras rintangan pada RM4,150 setan,” katanya kepada Bernama.

Menurut laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) minggu lalu, Malaysia mengeluarkan 1.77 juta tan MSM pada Mei, meningkat 5.1 peratus berbanding 1.69 juta tan pada bulan sebelumnya.

 Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM mengalami penyusutan selepas meningkat ke paras tertinggi dua bulan, susulan pengambilan untung secara sederhana.

“Walaupun niaga hadapan minyak sayuran berkaitan termasuk minyak kacang soya mencatatkan had kenaikan semula di Chicago Mercantile Exchange sehari sebelum itu dan asas pasaran minyak sawit kekal kukuh, para peniaga memilih untuk mengambil sedikit keuntungan,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Jun susut RM32 kepada RM4,064 setan, Julai 2025 turun RM32 kepada RM4,072 setan, manakala Ogos 2025 merosot RM30 kepada RM4,064 setan.

Kontrak September 2025 rendah RM29 kepada RM4,051 setan, Oktober 2025 menyusut RM26 kepada RM4,047 setan, manakala November 2025 merosot RM23 kepada RM4,055 setan.

Jumlah dagangan menurun kepada 110,158 lot berbanding 117,399 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka susut kepada 235,561 kontrak berbanding 241,865 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan merosot RM20 kepada RM4,080 setan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan