KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi positif, walaupun sentimen kekal lemah berikutan prestasi serantau yang tidak menentu, dengan minat belian dijangka beralih kepada syarikat yang kukuh dari segi asasnya.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 2.08 mata kepada 1,521.49, daripada 1,519.41 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.30 mata lebih tinggi kepada 1,519.71, dan seterusnya berlegar antara 1,517.74 dengan 1,522.30 sepanjang sesi pagi.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 384 berbanding 381 manakala 466 kaunter tidak berubah, 1,138 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.79 bilion unit bernilai RM883.18 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dagangan di pasaran tempatan dijangka hambar memandangkan tumpuan pelabur mungkin beralih kepada syarikat yang kukuh dari segi asasnya.
Pelabur di Wall Street dijangka menumpukan perhatian kepada rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, yang telah mendorong ekuiti meningkat sederhana apabila pegawai memberi petunjuk akan ada kemajuan menjelang penyambungan semula rundingan pada Selasa.
“Memandangkan pasaran mengambil kira kemungkinan persekitaran pengurangan kadar faedah, Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) mungkin menarik minat pelabur disebabkan hasil yang baik melebihi empat peratus,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Antara saham wajaran tinggi, 99 Speed Mart naik sembilan sen kepada RM2.19, Axiata meningkat enam sen kepada RM2.09, Public Bank naik dua sen kepada RM4.28 dan Telekom Malaysia bertambah sembilan sen kepada RM6.65, manakala MR DIY dan Press Metal masing-masing naik tiga sen kepada RM1.64 dan RM5.03.
Bagi saham aktif, MYEG, Harvest Miracle dan NEXG masing-masing kekal pada 94.5 sen, 18 sen dan 37 sen manakala Tanco turun 2.5 sen kepada 96.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 24.54 mata kepada 11,417.73, Indeks FBMT 100 meningkat 24.84 mata kepada 11,183.31, dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 30.60 mata kepada 11,394.64.
Indeks FBM 70 melonjak 74.24 mata kepada 16,483.55, manakala Indeks FBM ACE turun 5.83 mata kepada 4,506.30.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 1.19 mata kepada 722.05, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.12 mata kepada 152.46.
Sementara itu, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 3.35 mata kepada 17,728.85 dan Indeks Perladangan susut 13.21 mata kepada 7,235.62.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial