PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Berikutan Perkembangan Positif AS-China

06/06/2025 08:11 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini selepas pasaran emas melemah sedikit susulan perbualan telefon yang memberangsangkan antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping, kata seorang penganalisis.

Perbualan itu yang menandakan peningkatan hubungan diplomatik antara dua ekonomi terbesar dunia, membantu menenangkan kebimbangan pelabur mengenai potensi perdagangan dan ketegangan geopolitik.

Menurut Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes, perkembangan itu mengurangkan permintaan terhadap aset-aset selamat seperti emas, sekali gus menyumbang kepada penurunan harga.

“Perbualan telefon antara Trump dan Xi telah mengurangkan permintaan aset selamat untuk aset-aset AS, menyebabkan harga emas kekal dalam julat dagangan yang lebih terhad.

“Selain itu, walaupun nada positif dalam perbualan Trump-Xi, logam berharga ini kekal terikat dengan pergerakan dolar AS. Para peniaga juga berharap pemotongan kadar faedah Rizab Persekutuan AS yang lebih awal daripada jangkaan akan melemahkan dolar,” katanya kepada Bernama.

Kontrak bulan semerta Jun 2025 jatuh kepada US$3,371.80 setiap auns troy daripada US$3,400.90 setiap auns troy semalam, manakala kontrak Julai 2025 merosot kepada US$3,380.30 setiap auns troy daripada US$3,409.40 setiap auns troy.

Kontrak Ogos, September dan Oktober 2025 semuanya susut kepada US$3,393.80 setiap auns troy daripada US$3,422.90 setiap auns troy semalam.

Jumlah dagangan meningkat kepada 109 lot daripada 38 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 122 kontrak daripada 62 kontrak sebelumnya.

Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 5 jun, harga emas fizikal berada pada US$3,374.60 setiap auns troy.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan