Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka bergerak seiring dengan prestasi pasaran tunai pendasar di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran global yang berterusan.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, tumpuan pasaran dijangka terarah kepada pengumuman beberapa petunjuk ekonomi penting, seperti indeks harga pengguna (CPI) China bagi bulan Mei, indeks harga pengeluar (IHPP) dan data pengangguran.
Di pasaran tempatan, kekurangan berita yang menggerakkan pasaran menyebabkan indeks utama kekal pada paras stabil dan trend ini dijangka berterusan hingga ke minggu depan sementara menunggu perkembangan yang menggalakkan, katanya kepada Bernama.
Sementara itu, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata, pelabur juga akan memantau kadar pengangguran di Korea Selatan, semakan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama Jepun dan Indeks Harga Pengguna India, faktor-faktor yang boleh mempengaruhi sentimen di seluruh rantau ini.
Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya ditutup pada Isnin, 2 Jun, sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Dalam minggu dagangan singkat yang baru berakhir ini, bulan kontrak Jun 2025 meningkat 10.5 mata kepada 1,506.50, bulan baharu Julai 2025 berada pada 1,504.50, September 2025 naik 8.5 mata kepada 1,487.50 dan Disember 2025 menokok 11 mata kepada 1,494.50.
Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 23,669 lot daripada 152,899 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 37,381 kontrak daripada 50,960 kontrak.
Pada asas Jumaat-ke-Jumaat, indeks petunjuk pasaran susut 27.03 mata kepada 1,508.35 daripada 1,508.35 pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial