KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini walaupun pasaran niaga hadapan getah serantau menyaksikan kenaikan momentum, kata seorang peniaga.
Peniaga tetap berhati-hati sambil memantau dialog perdagangan yang diperbaharui antara China dan Amerika Syarikat (AS) selain tanda-tanda China akan mengumumkan langkah-langkah rangsangan seterusnya. "Bagaimanapun, keuntungan selanjutnya telah dihadkan oleh penanda aras minyak mentah yang agak lemah," katanya kepada Bernama.
Niaga hadapan getah Jepun telah mencecah para tertinggi seminggu pada Jumaat sebelum ini, didorong oleh harapan pengurangan ketegangan perang dagang antara AS dan China, tetapi kontrak itu menyaksikan kerugian mingguan yang agak sederhana di tengah-tengah tanda kelembapan dalam ekonomi AS.
Respons Presiden AS Donald Trump yang amat positif dalam panggilannya dengan Presiden China Xi Jinping mencetuskan keyakinan ke atas perbincangan perdagangan yang diperbaharui antara Washington dan Beijing.
Pada 3 petang tadi, Lembaga Getah Malaysia melaporkan bahawa harga SMR 20 meningkat setengah sen kepada 691.0 sen sekilogram manakala lateks pukal berkurangan sebanyak 3.5 sen kepada 601.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial