PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Diasak Aktiviti Pengambilan Untung

06/06/2025 01:38 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada tengah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang berterusan sejak pertengahan pagi melibatkan kaunter saham berharga rendah dan wajaran tinggi terpilih, diterajui saham produk dan perkhidmatan perindustrian.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.53 mata kepada 1,516.59 daripada 1,518.12 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.21 mata lebih rendah pada 1,516.91, dan bergerak dalam julat antara 1,513.39 dan 1,517.59 sepanjang sesi pagi.

Keseluruhan pasaran juga negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 492 berbanding 226. Sebanyak 415 kaunter tidak berubah, 1,213 tidak diniagakan dan 20 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.13 bilion unit bernilai RM730.54 juta.

Maybank Investment Bank dalam nota penyelidikannya berkata tumpuan pasaran kini beralih kepada laporan Pekerjaan Bukan Ladang Amerika Syarikat (AS) yang dijadual diumumkan malam ini, memandangkan sentimen pasaran kekal sensitif terhadap kebimbangan baharu mengenai tarif perdagangan.

Dari sudut teknikal, firma itu menjangkakan FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,510 hingga 1,530 mata hari ini, dengan paras sokongan antara 1,500 hingga 1,440 mata.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Petronas Chemicals merosot 9.0 sen kepada RM3.27, Petronas Dagangan turun 24 sen kepada RM20.90, CelcomDigi susut 4.0 sen kepada RM3.83, Press Metal Aluminium menyusut 5.0 sen kepada RM4.98 dan CIMB turun 4.0 sen kepada RM6.83.

Bagi saham paling aktif, Tanco menambah 1.0 sen kepada RM1.01, manakala MYEG, Reservoir Link Energy dan KPJ kekal tidak berubah masing-masing pada 93 sen, 35.5 sen dan RM2.78. Sementara itu, Signature Alliance Group naik 1.0 sen kepada 71 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 11.15 mata kepada 11,351.68, Indeks FBMT 100 turun 6.66 mata kepada 11,121.70, dan Indeks FBM ACE berkurangan 28.73 mata kepada 4,489.41.

Indeks FBM Emas Shariah turut berkurang 20.12 mata kepada 11,320.62, bagaimanapun, Indeks FBM 70 naik 8.36 mata kepada 16,291.67.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 21.75 mata kepada 17,717.82, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.27 mata kepada 150.85. Indeks Tenaga meningkat 7.90 mata kepada 716.51 manakala Indeks Perladangan menambah 14.46 mata kepada 7,233.84.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan