PASARAN > BERITA

Ringgit Ditutup Tinggi Susulan Dolar AS Lebih Rendah, Risiko Inflasi Lebih Tinggi

05/06/2025 08:00 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis susulan dolar AS yang lebih rendah berikutan data ekonomi negara itu yang tidak memberangsangkan mendorong pelabur kembali cenderung mengambil risiko.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2245/2295 berbanding dolar AS daripada 4.2435/2490 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peniaga dan pelabur mempertimbangkan prospek kelembapan ekonomi dan risiko inflasi lebih tinggi yang berpunca daripada kejutan tarif baru-baru ini.

“Ini menyebabkan kalangan anggota Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS mengalami dilemma dasar, justeru, skop pengurangan kadar faedah adalah terhad,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata data utama akan datang ialah laporan pembayaran gaji bukan ladang (NFP) yang dijadualkan dikeluarkan pada Jumaat.

Konsensus menjangkakan NFP pada Mei mencecah 130,000, turun daripada 277,000 pada April, manakala kadar pengangguran diunjurkan kekal pada 4.2 peratus.

Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.9495/9531 daripada 2.9444/9486 ketika ditutup pada Rabu, namun meningkat berbanding euro kepada 4.8235/8292 daripada 4.8300/8362.

 Unit tempatan juga lebih stabil berbanding pound British kepada 5.7301/7369 daripada 5.7427/7502.

Ringgit juga diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang domestik naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2881/2922 daripada 3.2906/2951 ketika ditutup semalam, dan lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 259.3/259.8 daripada 260.4/260.8.

Ringgit juga sedikit kukuh berbanding peso Filipina kepada 7.59/7.61 daripada 7.60/7.62 namun, rendah berbanding baht Thailand kepada 12.9925/13.0138 daripada 12.9679/12.9911 semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan