Daripada Nurliyana Farhah Ruslan
MINA, 7 Jun (Bernama) -- Biarpun usia menjangkau 70-an dan kudrat semakin terbatas, jemaah haji warga emas Malaysia tetap menunjukkan semangat luar biasa menunaikan ibadah haji, termasuk melontar di Jamrah Kubra di sini sekali gus membuktikan usia bukanlah penghalang.
Asiah Abu Bakar, 78, berkata dia tetap berasa bertenaga melakukan ibadah melontar meskipun berjalan kaki kira-kira lapan kilometer pergi dan balik dari khemah penginapan di Mina yang mengambil masa kira-kira sejam untuk tiba di Jamrah Kubra.
“Alhamdulillah, saya berasa amat gembira setelah selesai melontar tujuh batu di Jamrah Kubra. Saat menerima panggilan haji pun sudah cukup membahagiakan, apatah lagi apabila saya sendiri mampu melontar dengan kudrat yang ada," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Anak Asiah, Nor Azilah Abdul Shatar, 52, berkata ibunya seorang yang sangat istiqamah dalam ibadah bahkan sudah berpuluh tahun mengamalkan membaca al-Quran dan menunaikan solat tahajud setiap awal pagi.
“Mak sendiri sudah mengumpul wang sejak berpuluh tahun bagi tujuan ini. Alhamdulillah selain kami berdua, bapa saya Abdul Shatar Umar, 81, dan abang Abdul Arif Anuar, 54, turut dijemput ke Tanah Suci,” katanya.
Sementara itu, Yaakob Bador, 79, yang kali pertama menunaikan haji selepas menunggu hampir 25 tahun untuk mendapat giliran, tidak dapat menahan sebak apabila berjaya melakukan lontaran Jamrah.
Dia yang berasal dari Kuala Lumpur, berjaya mengumpul duit bagi menunaikan ibadah itu hasil titik peluh bekerja sebagai pekerja kilang selama 30 tahun.
“Saya sangat gembira … kalau boleh saya mahu orang lain juga datang tunaikan haji. Saya hanya pekerja kilang, tetapi saya simpan duit dan berdoa lama untuk peluang ini, Harapnya haji saya mabrur,” katanya.
Sepanjang menjalankan ibadah berkenaan, Yaakob dibantu seorang jemaah muda Mohd Hafeiz Mohd Latiff, 42, yang juga rakan semaktabnya.
Meluahkan rasa syukur kerana berpeluang membantu jemaah lain, Mohd Hafeiz berkata jemaah haji itu sudah dianggap seperti ayahnya sendiri.
“Mungkin saya tidak dapat pergi dengan ayah tetapi saya percaya dan bantu mereka berdua ini seperti ayah saya sendiri.
"Saya lihat mereka ini (rakan semaktab) boleh berjalan sendiri, namun memerlukan bantuan seperti menunjukkan arah, jadi saya jaga dan bantu mereka sepanjang jalan ke sini,” katanya dalam nada sebak.
Operasi masyair ialah kemuncak keseluruhan operasi haji yang melibatkan pergerakan jemaah haji Malaysia ke Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi tempoh lima hari bermula 8 hingga 13 Zulhijjah untuk menyempurnakan ibadah rukun dan wajib haji.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial