Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi bagi hari kedua berturut-turut hari ini susulan aktiviti membeli saham pada harga rendah yang berterusan selepas penjualan minggu lepas, sejajar dengan prestasi memberangsangkan di pasaran serantau, kata seorang penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.67 peratus atau 10.15 mata, kepada 1,518.12 daripada paras penutup 1,507.97 pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 2.73 mata kepada 1,510.70 dan bergerak antara jajaran 1,509.25 dan 1,520.34 sepanjang sesi dagangan.
Keseluruhan pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 641 berbanding 341, manakala 437 kaunter tidak berubah, 937 tidak diniagakan dan 20 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.42 bilion unit bernilai RM2.27 bilion daripada 2.40 bilion unit bernilai RM2.03 bilion pada Rabu.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau juga ditutup tinggi dengan belian kukuh dalam saham teknologi, kenderaan elektrik (EV) dan hartanah.
Saham teknologi global mendapat sokongan daripada penyusutan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) berikutan data buruh rendah yang membayangkan kemungkinan Rizab Persekutuan AS (Fed AS) akan menurunkan lagi kadar faedah.
Pada masa yang sama, peserta pasaran memantau rapat perkembangan kemelut perdagangan yang berterusan di bawah pentadbiran Presiden AS Donald Trump dan potensi perbincangan antara beliau dengan Presiden China Xi Jinping.
Sementara itu, indeks petunjuk pasaran di Bursa Malaysia kekal mendapat sokongan yang baik melebihi paras 1,500, mencerminkan kekukuhan asas pasaran.
“Walaupun peningkatan ketidaktentuan global, kami percaya asas ekuiti tempatan masih kekal kukuh, disokong oleh penilaian menarik dan pendapatan korporat yang stabil.
"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam jajaran 1,500-1,530 menjelang hujung minggu," kata Thong kepada Bernama.
Sementara itu, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata selain prospek ekonomi makro yang berhati-hati, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah menyemak semula unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2025 AS dengan menurunkannya kepada 1.6 peratus daripada 2.2 peratus.
“Pengubahsuaian semula jangkaan kadar ini memberikan perkembangan positif kepada pasaran ekuiti serantau, dengan indeks Asia secara umumnya mencatatkan prestasi tinggi,” katanya.
Di pasaran tempatan, FBM KLCI disokong oleh kenaikan dalam sektor pengguna, utiliti dan pembinaan -- industri yang biasanya lebih sensitif kepada dinamik kadar faedah.
Sebaliknya, kaunter perbankan berada dalam tekanan, mencerminkan penetapan harga semula keluk hasil dan risiko pemampatan margin sekiranya Fed lebih cenderung menurunkan kadar.
"Meskipun lantunan semula pada hari ini, namun masih terlalu awal untuk menganggapnya sebagai pemulihan berterusan. Pasaran masih kekurangan pemangkin kukuh dan berdepan risiko luaran -- terutamanya dalam keadaan hubungan perdagangan AS-China yang masih tidak menentu.
“Jumlah dagangan kekal rendah, dengan 2.4 bilion saham bertukar tangan berbanding purata harian 3.0 bilion -- menunjukkan sentimen berhati-hati pasaran,” kata Mohd Sedek
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, YTL Corp meningkat 15 sen kepada RM2.03, YTL Power International melonjak 22 sen kepada RM3.51, Petronas Chemicals menokok 12 sen kepada RM3.36, Press Metal menambah 15 sen kepada RM5.05, dan Sime Darby naik 5.0 sen kepada RM1.75.
Dalam kalangan kaunter cergas, Signature Alliance Group yang memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE meningkat 8.0 sen kepada 70 sen, MYEG naik 3.0 sen kepada 93 sen, NexG turun setengah sen kepada 37.5 sen, Tanco menokok 1.5 sen pada RM1, dan Gamuda menambah 8.0 sen kepada RM4.74.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 79.76 mata kepada 11,362.83, Indeks FBMT 100 meningkat 75.42 mata kepada 11,128.36 dan Indeks FBM ACE naik 38.49 mata kepada 4,518.14.
Indeks FBM Emas Shariah melonjak 99.09 mata kepada 11,340.74 dan Indeks FBM 70 meningkat 114.31 mata kepada 16,283.31.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 18.27 mata kepada 17,739.57, Indeks Perladangan meningkat 15.71 mata kepada 7,219.38, Indeks Tenaga menokok 6.15 mata kepada 708.61, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.02 mata kepada 152.12.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat sedikit kepada 1.16 bilion unit bernilai RM2.00 bilion daripada 1.15 bilion unit bernilai RM1.83 pada Rabu.
Jumlah dagangan waran susut kepada 898.22 juta unit bernilai RM114.39 juta daripada 967.10 juta unit bernilai RM118.58 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 361.18 juta saham bernilai RM153.86 juta daripada 288.86 juta saham bernilai RM78.35 juta sebelum ini.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 140.75 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (158.91 juta), pembinaan (122.71 juta), teknologi (228.74 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (79.12 juta), hartanah (143.30 juta), perladangan (13.83 juta), REIT (13.15 juta), dana tertutup (5,100), tenaga (61.45 juta), penjagaan kesihatan (67.09 juta), telekomunikasi dan media (33.94 juta), pengangkutan dan logistik (24.38 juta), utiliti (79.29 juta), dan amanah perniagaan (10,100).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial