PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Dijangka Diniagakan Dalam Dagangan Berhati-hati Minggu Depan

31/05/2025 10:22 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Pasaran getah tempatan dijangka kekal dalam aliran menurun minggu depan memandangkan perniagaan masih berhati-hati dengan prospek pasaran global, kata Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Persatuan itu berkata harga dijangka terjejas oleh kekurangan bekalan disebabkan keadaan cuaca, kekukuhan ringgit, pergerakan harga minyak mentah dan ketidakpastian berhubung perdagangan Amerika Syarikat-China serta dasar ekonomi China.

"Ini dijangka menyebabkan pasaran getah menjadi tidak menentu pada minggu akan datang," kata MARGMA kepada Bernama.

Pakar industri Denis Low juga berpandangan yang sama dengan menyatakan bahawa gangguan bekalan akibat cuaca tidak menentu boleh menambahkan lagi ketidaktentuan pasaran.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah terjejas oleh penurunan di pasaran niaga hadapan getah serantau, harga minyak mentah yang lebih rendah dan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS.

Pada asas minggu ke minggu, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) turun sebanyak 42 sen kepada 698.5 sen sekilogram (kg), manakala susu getah pukal susut sebanyak 6.5 sen kepada 620.5 sen sekilogram.

Pasaran getah Kuala Lumpur akan ditutup pada 2 Jun 2025 (Isnin) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan akan operasi akan disambung semula pada Selasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan