Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives menamatkan kenaikan selama lima hari dan ditutup lebih rendah pada Jumaat, dipengaruhi oleh kelemahan pasaran minyak kacang soya, kata peniaga minyak sawit David Ng.
Beliau berkata paras sokongan dan paras rintangan masing-masing dilihat pada RM3,800 dan RM4,000 setiap tan.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata kontrak niaga hadapan MSM ditutup lebih rendah apabila para peniaga mengambil untung menjelang cuti hujung minggu yang panjang.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Jun 2025 susut RM41 kepada RM3,888 setiap tan, Julai 2025 turun RM51 kepada RM3,491 setiap tan dan Ogos 2025 merosot RM54 kepada RM3,878 setiap tan.
Kontrak September 2025 berkurang RM51 kepada RM3,870 setiap tan, Oktober 2025 menguncup RM49 kepada RM3,870 setiap tan dan November 2025 merosot RM46 kepada RM3,874 setiap tan.
Jumlah dagangan mengecil kepada 59,698 lot daripada 69,553 lot semalam manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 241,994 kontrak daripada 244,448 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM untuk Jun Selatan menyusut sebanyak RM30 kepada RM3,930 setiap tan.
Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup pada 2 Jun bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan akan bersambung operasi pada 3 Jun (Selasa).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial