PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Hampir Mendatar, Indeks Utama Susut Sedikit

26/05/2025 06:55 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup hampir mendatar pada Isnin dengan indeks utama menyusut sedikit, terjejas ekoran aktiviti pengambilan untung dalam kaunter-kaunter telekomunikasi.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun sebanyak 1.08 mata atau 0.07 peratus kepada 1,534.30 berbanding 1,535.38 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.95 mata lebih tinggi pada 1,536.33 dan bergerak antara paras 1,528.93 dan 1,537.27 sepanjang dagangan hari ini.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 595 daripada 338, manakala 478 kaunter tidak berubah, 1,019 tidak diniagakan dan 42 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.12 bilion unit bernilai RM1.63 bilion, berbanding 2.72 bilion unit bernilai RM2.17 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI mengurangkan kerugian terdahulu hasil minat belian dagangan pada saat-saat akhir, terutamanya dalam kaunter perbankan.

“Pasaran serantau mencatat prestasi bercampur-campur selepas kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkaitan tarif. Beliau terlebih dahulu mengancam untuk menaikkan tarif ke atas Eropah, sebelum menarik balik kenyataan itu.

“Sementara itu, saham teknologi mengalami tekanan jualan selepas Trump mencadangkan tarif 25 peratus ke atas iPhone dan telefon pintar lain,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata indeks utama Bursa tempatan kekal dalam julat dagangan terhad berikutan ketiadaan pemangkin baharu.

“Pergerakan melepasi paras 1,550–1,560 diperlukan untuk mengubah sentimen kepada positif. Buat masa ini, kami menjangkakan FBM KLCI akan diniagakan dalam julat 1,520 hingga 1,550 sepanjang minggu ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM9.92, manakala Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing menokok satu sen kepada RM4.41 dan RM6.91. CIMB naik dua sen kepada RM6.96 manakala Tenaga tidak berubah pada RM14.

Bagi saham aktif, Sapura Energy, OCR Group and Harvest Miracle tidak berubah pada empat sen, 3.5 sen dan 18 sen, manakala Tanco Holdings menokok 2.5 sen kepada RM1 dan Eco Shop susut empat sen kepada RM1.16.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 18.35 mata kepada 11,455.69, Indeks FBMT 100 berkurangan 14.39 mata kepada 11,218.71 dan Indeks FBM ACE turun 17.87 mata kepada 4,598.07.

Indeks FBM Emas Shariah turun 36.23 mata kepada 11,389.98 dan Indeks FBM 70 merosot 46.89 mata kepada 16,303.36.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 68.50 mata kepada 18,171.08, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.30 mata kepada 153.74, Indeks Tenaga susut 4.86 mata kepada 705.91, dan Indeks Perladangan meningkat 5.06 mata kepada 7,335.37. 

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun sedikit kepada 1.23 bilion unit bernilai RM1.34 bilion berbanding 1.41 bilion unit bernilai RM1.98 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.60 bilion unit bernilai RM198.00 juta daripada 1.11 bilion unit bernilai RM130.73 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 278.81 juta bernilai RM86.35 juta daripada 204.53 juta bernilai RM64.75 juta Jumaat lepas.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 207.96 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (214.60 juta), pembinaan (121.07 juta), teknologi (139.47 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (49.22 juta), hartanah (143.76 juta), perladangan (96.20 juta) REIT (10.83 juta), dana tertutup (4,900), tenaga (235.24 juta), penjagaan kesihatan (29.06 juta), telekomunikasi dan media (24.26 juta), pengangkutan dan logistik (21.15 juta), utiliti (33.36 juta), dan amanah perniagaan (35,200).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan