Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif mungkin didagangkan dalam jajaran kecil tetapi cenderung untuk naik pada minggu depan, ini berpotensi mencecah paras US$3,350 setiap auns troy menjelang pelepasan minit mesyuarat bank pusat serta laporan inflasi perbelanjaan penggunaan peribadi Amerika Syarikat (AS).
Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata prestasi logam berharga itu juga akan disokong oleh kelemahan dalam dolar US di tengah-tengah kebimbangan mengenai kedudukan fiskal negara itu.
"Emas mengakhiri minggu ini dalam jajaran kecil antara US$3,300 setiap auns troy hingga US$3,350 setiap auns troy, bergantung kepada kebimbangan mengenai fiskal AS serta kelemahan berterusan dalam mata wangnya.
"Walaupun permintaan untuk aset selamat masih mantap, aliran keluar daripada dana yang diperdagangkan oleh pertukaran emas (ETF) yang berpangkalan di AS terus menghadkan pengukuhan, didorong oleh spekulasi bahawa naratif tarif telah memuncak dan keadaan mungkin akan menjurus kepada jeda taktikal, yang mana, bakal menyaksikan perang perdagangan bermungkinan mereda.
"Disebalik seretan itu, ketahanan logam tersebut terus mencerminkan kekuatan. Kekurangan permintaan untuk Perbendaharaan AS mula memberi kesan, menekan dolar US dan secara tidak langsung memacu modal kembali kepada emas,” katanya kepada Bernama.
Tanpa sebarang sokongan dalam jangka pendek bagi lelongan perbendaharaan atau kredibiliti fiskal, latar belakang makro masih memihak kepada logam berharga itu.
Melihat ke hadapan, beliau berkata dengan kejutan geopolitik atau dasar yang tidak diduga, emas mungkin kekal dalam jajaran dagangan semasa.
"Ujian pada paras US$3,350 setiap auns troy mungkin lebih ketara terutamanya jika data AS atau pembekalan perbendaharaan terus memberi impak," katanya lagi.
Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak Mei 2025 meningkat kepada US$3,336.50 setiap auns troy daripada US $3,218.10 setiap auns troy dan Jun 2025 naik kepada US$3,349.70 setiap auns daripada US$3,232.0.
Julai 2025, Ogos 2025 dan Oktober 2025 semuanya mengukuh kepada US$3,363.40 setiap auns troy daripada US$3,245.70 setiap auns troy.
Jumlah dagangan melonjak kepada 1,854 lot berbanding 1,150 lot yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 82 kontrak daripada 49 kontrak.
Berdasarkan penetapan tengah hari London Bullion Market Association pada 22 Mei, emas fizikal berada pada US$3,284 setiap auns troy.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial