AM

Empati Manusia Tidak Mampu Diganti AI

01/07/2026 09:50 PM

KOTA BHARU, 1 Julai (Bernama) -- Peranan wartawan dalam liputan tragedi, konflik dan isu kemanusiaan masih tidak dapat digantikan sepenuhnya oleh kecerdasan buatan (AI) kerana elemen empati serta sentuhan manusia kekal menjadi asas penting dalam kewartawanan.

Pensyarah Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr. Shahrul Nazmi Sannusi berkata walaupun AI mampu membantu dari segi pengumpulan data, penyusunan maklumat dan penghasilan kandungan secara pantas, teknologi itu tidak mempunyai keupayaan untuk memahami penderitaan manusia serta membuat pertimbangan moral secara menyeluruh.

Menurut beliau, dalam situasi melibatkan kehilangan nyawa, konflik atau bencana, wartawan perlu memainkan peranan lebih besar bagi memastikan laporan disampaikan secara beretika, sensitif dan menghormati mangsa serta keluarga terlibat.

“Sentuhan manusia dan empati membantu wartawan memilih pendekatan yang sesuai ketika temu bual, penggunaan bahasa serta penyampaian visual supaya laporan tidak menjejaskan emosi pihak terkesan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata teknologi AI tidak mampu menilai emosi, membaca suasana sebenar di lapangan atau memahami konteks sosial sesuatu tragedi seperti yang dilakukan oleh manusia.

Shahrul Nazmi berkata budaya turun padang dan interaksi secara langsung dengan masyarakat masih penting bagi memastikan sesuatu laporan mempunyai nilai kemanusiaan selain menggambarkan realiti sebenar kejadian.

Dalam masa sama, beliau menegaskan penggunaan AI dalam bilik berita seharusnya berperanan sebagai alat sokongan untuk meningkatkan kecekapan kerja, bukan menggantikan sepenuhnya tugas wartawan di lapangan.

“Wartawan tetap diperlukan untuk membuat semakan fakta, mendapatkan sumber sahih dan memastikan laporan mempunyai konteks serta keseimbangan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengamal media supaya menggunakan AI secara bertanggungjawab agar integriti dan kredibiliti kewartawanan terus terpelihara dalam era digital yang semakin berkembang pesat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan bahawa perkembangan teknologi AI berpotensi mengurangkan peranan pengamal media, khususnya dalam liputan tragedi, konflik dan isu kemanusiaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan