Oleh Muhammaf Faiz Baharin
KULAI, 1 Julai (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) yakin dapat meraih sokongan pengundi di empat gugusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dalam Parlimen Kulai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, yang ditetapkan pada 11 Julai ini.
Pengerusi BN Kulai Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata kawasan berkenaan melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai yang menempatkan tiga gugusan FELDA iaitu Taib Andak, Inas dan Bukit Permai dengan hampir 7,000 pengundi, selain FELDA Bukit Batu di DUN Bukit Batu.
Beliau yang juga calon BN bagi DUN Bukit Permai berkata keyakinan itu berdasarkan komitmen berterusan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi terhadap kebajikan dan kesejahteraan warga FELDA.
“Pada PRN 2018, undi di kawasan FELDA agak terjejas, namun terdapat peningkatan pada PRN 2022. Alhamdulillah, dalam tempoh empat tahun ini kerajaan negeri telah berjaya menyelesaikan banyak isu di FELDA.
“Kerajaan negeri turut menyalurkan pelbagai peruntukan termasuk bantuan pendidikan kepada anak-anak FELDA menerusi Yayasan Pelajaran Johor (YPJ). Kita menjangkakan trend sokongan terhadap BN akan terus meningkat di kawasan FELDA,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Selain itu, Mohd Jafni berkata kerajaan negeri Johor juga telah berjaya menyelesaikan isu pemilikan geran yang sekian lama membelenggu sebahagian warga FELDA, dengan pencapaian 99.9 peratus penyelesaian permohonan hak milik peneroka sebagai bukti komitmen membantu komuniti tanah rancangan itu.
Bekas Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor itu pada masa sama berharap agar Bangsa Johor terus memberikan mandat kepada BN bagi menerajui negeri ini, bagi meneruskan agenda pembangunan yang telah dirancang demi kesejahteraan rakyat.
“Kami akan berusaha sebaik mungkin di ketiga-tiga DUN dalam Parlimen Kulai ini, bukan sahaja untuk mempertahankan Bukit Permai, malah untuk merampas Bukit Batu dan Senai.
“Banyak inisiatif telah dilaksanakan dalam tempoh empat tahun ini, namun ia memerlukan kesinambungan dua penggal bagi memastikan Johor terus maju dan hasilnya dapat dikembalikan kepada rakyat,” katanya.
Pada PRN Johor itu, Mohd Jafni yang mempertahankan DUN Bukit Permai akan berdepan saingan empat penjuru, masing-masing daripada calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Muhammad Aidil Riduan Mohd Yusof; Pakatan Harapan (Mohamad Shafwan Ani); dan Perikatan Nasional (M. Lina Manoh).
Secara keseluruhan, PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
N50: BUKIT PERMAI: 44,819
1. Muhammad Aidil Riduan Mohd Yusof (Bersama)
2. Datuk Mohd Jafni Md Shukor (BN-UMNO)
3. Mohamad Shafwan Ani (PH-DAP)
4. M. Lina Manoh (PN-MIPP)
(2022: Datuk Mohd Jafni Md Shukor: BN-UMNO: Maj: 4,755)
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial