KUALA LUMPUR, 1 Julai 1 (Bernama) – Sapura Industrial Bhd (SIB) mengemukakan cadangan untuk menjual dua bidang tanah perindustrian yang terletak bersebelahan di Bandar Baru Bangi, Selangor kepada Zeito Plastic Components Sdn Bhd (ZPC) dengan pertimbangan tunai sebanyak RM42.33 juta.
Dua bidang tanah perindustrian yang kosong, berukuran 40,964 meter persegi (4.096 hektar), terdiri daripada Lot 48474 dan Lot 48475, kedua-duanya dengan tempoh pajakan 99 tahun yang tamat pada 18 Julai 2103.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pengeluar komponen automotif itu berkata ia telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan ZPC pada 1 Julai susulan menerima surat tawaran pada 8 Jun lepas.
“Pada mulanya, hartanah itu diambil alih oleh SIB bagi mengembangkan kilangnya yang terletak di Bandar Baru Bangi.
“Bagaimanapun, selepas mempertimbangkan langkah untuk mengembangkan kilang sedia ada agar lebih dekat dengan pelanggan kumpulan, lembaga pengarah percaya cadangan penjualan itu adalah tepat pada masanya.
“Cadangan penjualan itu membolehkan kumpulan tersebut memanfaatkan nilai aset bukan terasnya pada nilai semasa dan menukarnya kepada dana mudah tunai untuk kegunaan operasi yang lebih produktif,” katanya.
Menurut SIB, pertimbangan penjualan itu telah dirundingkan atas dasar persetujuan bersama antara pembeli dan penjual selepas mengambil kira penilaian pasaran bebas sebanyak RM40.60 juta pada 30 April 2026, kos pelaburan asal sebanyak RM12.10 juta dan agregat nilai buku bersih sebanyak RM9.10 juta pada 31 Januari 2026.
Menurut makluman itu, ia menjangkakan akan mengiktiraf keuntungan bersih pro forma kira-kira RM29.14 juta daripada cadangan penjualan itu.
Katanya, cadangan penjualan itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa dan kelulusan berkaitan lain, sekiranya diperlukan.
SIB berkata tiada seorang pun pengarahnya, pemegang saham utama dan individu berkaitan dengan syarikat itu mempunyai sebarang kepentingan langsung dan tidak langsung dalam cadangan penjualan itu.
“Lembaga pengarah, selepas mempertimbangkan segala aspek dalam cadangan penjualan itu, berpendapat bahawa cadangan penjualan tersebut adalah demi kepentingan terbaik syarikat,” katanya.
Menurut SIB, tertakluk kepada keadaan yang tidak dijangka, transaksi itu dijangka selepas pada separuh pertama 2027.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial