KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) dan MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) hari ini melancarkan projek pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) secara berperingkat di 50 stesen BHPetrol di sekitar Lembah Klang dan disasarkan siap tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MARA Inc Faizul Idzhar Ahmad Yazi berkata pihaknya komited memastikan pemasangan sistem solar di kesemua 50 stesen BHPetrol itu siap dan beroperasi sebelum akhir tahun ini.
“Kita akan lengkapkan 50 stesen minyak, maksudnya siap beroperasi.
“Selepas pemasangan, kita perlu menjalankan proses ujian dan pentauliahan, mendapatkan kelulusan lesen dan melengkapkan beberapa proses lain sebelum sistem itu boleh mula beroperasi dan menjana elektrik,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Projek Tenaga Boleh Baharu Bersama BHPetrol dan MARA Inc di sini hari ini.
Beliau berkata MARA Inc turut mengembangkan perniagaannya dalam sektor tenaga boleh baharu, khususnya tenaga solar bukan sahaja melalui kerjasama dengan BHPetrol, malah institusi di bawah MARA, termasuk kolejnya.
Katanya MARA Inc dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pemasangan sistem solar di institusi berkenaan selain terlibat dalam projek solar berskala besar (LSS) berkapasiti melebihi 100 megawatt (MW) di Pantai Timur.
“Solar merupakan industri yang mempunyai potensi besar. Saya percaya suatu hari nanti hampir setiap premis di Malaysia akan memasang sistem solar kerana secara logiknya, ia mampu mengurangkan kos elektrik.
“Penjimatan itu bukan hanya untuk tempoh setahun, sebaliknya boleh dinikmati dalam tempoh dari 10 hingga 20 tahun pada kadar yang stabil,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol Fardzi Shah Razali berkata BHPetrol mempunyai 420 stesen minyak di seluruh Semenanjung Malaysia namun sasaran pemasangan sistem solar bagi tahun depan masih dalam perbincangan.
Beliau berkata tidak semua stesen BHPetrol sesuai untuk pemasangan sistem solar kerana ia bergantung pada kesesuaian lokasi.
“Ia masih dalam perbincangan mengenai sasaran tahun depan kerana daripada 420 stesen ini, tidak semuanya sesuai untuk pemasangan sistem solar.
“Bagi tenaga boleh baharu, kita perlu memastikan stesen mempunyai kawasan yang lapang dan menerima pencahayaan matahari yang mencukupi.
“Ada sesetengah stesen terletak di kawasan yang terlindung, terutamanya di kawasan bandar atau berhampiran kondominium dan bangunan tinggi. Justeru, stesen ini tidak sesuai,” katanya.
Sehingga Julai 2026, sebanyak 16 stesen BHPetrol telah siap dipasang dan beroperasi menggunakan sistem solar PV manakala baki 34 stesen akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga mencapai sasaran keseluruhan projek.
Sistem solar PV berkapasiti 1.4 megawatt puncak (MWp) itu dijangka mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 1,347 tan karbon dioksida (CO₂) setahun apabila siap sepenuhnya.
Ini sekali gus menyumbang kepada usaha memperkukuh pembangunan ekonomi rendah karbon dan amalan perniagaan yang lebih mampan selari dengan aspirasi kerajaan mempercepat peralihan kepada teknologi hijau menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Fardzi Shah berkata BHPetrol dalam usaha mengurangkan kos operasi, bukan sahaja pada peringkat syarikat, malah bagi pengusaha stesen BHPetrol.
“Kami sentiasa berusaha untuk mengurangkan kos operasi, iaitu pengurangan bil tenaga sebanyak minimum 10 peratus,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial