JOHOR BHARU, 1 Julai (Bernama) -- Pengalaman berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub menjadi asas kepada pendekatan politik calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas Sharon Teo Siew Hui, yang berikrar mengutamakan khidmat kepada rakyat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Teo, 36, berkata beliau banyak mempelajari nilai kepimpinan daripada bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkenaan, khususnya sikap merendah diri, mudah didekati dan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum atau kawasan.
Beliau berkata Allahyarham yang sinonim dengan gelaran “Bapa Rahmah Malaysia” menjadi sumber inspirasi utama yang membentuk pendekatan politiknya.
“Saya menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) pada 2018 kerana mentor saya ialah Allahyarham. Sebelum itu saya hanya membantu beliau secara sukarela, tetapi selepas mengenali beliau dengan lebih dekat, saya tertarik dengan keperibadian dan cara beliau berkhidmat kepada rakyat.
“Beliau seorang yang sangat rendah diri. Itulah semangat yang mahu saya bawa di Permas,” katanya dalam temu bual bersama Bernama hari ini.
Menurut Teo, pengalaman mengiringi Salahuddin sepanjang beberapa siri Pilihan Raya Umum (PRU) dan PRN membuka matanya bahawa tugas seorang wakil rakyat bukan sekadar menerima aduan, sebaliknya memastikan setiap masalah benar-benar diselesaikan.
“Saya masih mengingati bagaimana Allahyarham memantau sendiri perkembangan aduan rakyat hingga lewat malam. Kadang-kadang sampai tengah malam beliau menghantar WhatsApp bertanya sama ada aduan rakyat sudah diselesaikan atau belum. Cara itulah yang saya mahu bawa di Permas,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa beliau ialah “calon payung terjun”, Teo berkata tanggapan itu tidak menggambarkan perjalanan politiknya kerana beliau telah aktif bersama Amanah sejak 2018, bermula sebagai ahli biasa sebelum dilantik sebagai Penolong Setiausaha Amanah Johor dan kini Ketua Wanita Muda (WARDA) Amanah Johor.
Beliau berkata Permas juga bukan kawasan asing baginya kerana sering mengikuti Allahyarham turun padang di kawasan itu ketika kempen pilihan raya sebelum ini.
Teo berkata sambutan yang diterima sepanjang lima hari berkempen memberi keyakinan kepadanya untuk terus mendekati pengundi pelbagai kaum.
Beliau berkata antara isu yang kerap dibangkitkan penduduk ialah masalah infrastruktur seperti jalan berlubang, lorong belakang premis perniagaan yang rosak, kesesakan lalu lintas dan kemudahan awam yang perlu dinaik taraf.
Selain itu, Teo berkata beliau mahu memberi perhatian kepada golongan muda, khususnya pengundi kali pertama dan lepasan sekolah dengan mendengar sendiri keperluan mereka serta mendekati mereka melalui media sosial dan program e-sukan.
Sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat, beliau berkata tempoh 100 hari pertama akan dimanfaatkan untuk mengenal pasti isu paling mendesak di DUN Permas, mengumpulkan data yang lengkap serta merangka pelan tindakan bagi menyelesaikan masalah penduduk secara berperingkat.
“Tiga perkara tumpuan saya ialah melancarkan PermasKu sebagai pusat sehenti pengurusan aduan rakyat supaya setiap aduan dipantau sehingga selesai dan melaksanakan audit menyeluruh infrastruktur di seluruh Permas untuk mengenal pasti keutamaan yang perlu diselesaikan.
“Selain itu saya akan turun padang ke setiap kawasan untuk bertemu penduduk dan membina pelan tindakan berdasarkan keperluan sebenar rakyat, bukan andaian,” katanya.
DUN Permas menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Teo, penyandang kerusi berkenaan yang juga calon Barisan Nasional (BN) Baharudin Mohamed Taib, Dr Zamil Najwah daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan T. Vela mewakili Perikatan Nasional (PN).
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
N43: PERMAS - 113,963 pengundi
1. Baharudin Mohamed Taib (BN-UMNO)
2. Teo Siew Hui (PH-Amanah)
3. Dr Zamil Najwah (Bersama)
4. T. Vela (PN-MIPP)
(2022: Baharudin Mohamed Taib: BN-UMNO: Maj: 7,926)
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial