JOHOR BAHRU, 1 Julai (Bernama) -- Di sebalik kesibukan berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Elia Nadira Sabudin masih memikul satu lagi tanggungjawab besar untuk menyempurnakan pengajian doktor falsafah (PhD).
Bagi ibu kepada empat cahaya mata yang mengikuti pengajian bidang Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kawalan) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu, perjuangan dalam dunia akademik dan politik mempunyai matlamat yang sama iaitu membina masa depan masyarakat menerusi ilmu, pendidikan dan pembangunan insan.
Naib Ketua Wanita Amanah Johor berusia 43 tahun itu berkata tumpuannya bukan sekadar meraih sokongan pengundi tetapi menawarkan kepakaran akademiknya untuk merapatkan jurang kualiti pendidikan antara kawasan luar bandar dan bandar.
“Saya rasa kekuatan saya adalah pendidikan. Saya mahu anak-anak di Tenang tidak membezakan mereka dengan anak-anak bandar. Mereka sebenarnya setara, kita boleh bangunkan anak-anak kita dan beri mereka peluang pekerjaan lebih baik melalui pendidikan,” katanya dalam temu bual bersama Bernama hari ini.
Usahawan teknologi yang memiliki sebuah syarikat pendidikan robotik itu juga menyediakan kelas kepada murid dan guru sekolah dengan menggunakan sukatan pelajaran yang selari dengan standard Kementerian Pendidikan (KPM).
Beliau berkata inisiatif berkenaan dapat membantu pelajar menceburi bidang teknologi baharu seperti pengekodan yang telah mula diperkenalkan di sekolah sekitar Labis, sekali gus dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan.
Selain itu, Elia Nadira berkata antara perkara pertama yang ditelitinya sebelum bertanding ialah perancangan pembangunan daerah bagi wilayah utara Johor termasuk pelan untuk memajukan ekonomi komuniti setempat melalui sektor ekopelancongan.
“Bila kita semak dalam rancangan tempatan daerah Segamat 2030, perkara itu telah digazetkan untuk dijadikan pusat pelancongan tetapi hari ini ia masih belum berlaku. Jadi saya hadir dengan memberi fokus utama saya untuk jadikan Tenang sebagai satu tempat pelancongan.
“Tenang merupakan satu tempat yang banyak tempat pelancongan tapi belum ramai yang kenal kawasan ini boleh dinaikkan sebagai ekopelancongan, ditambah pula dengan adanya stesen ETS (perkhidmatan tren elektrik) di Labis, ia sepatutnya melonjakkan ekonomi setempat dengan lebih agresif,” katanya.
Elia Nadira yang pernah bertanding di DUN Bukit Pasir bakal berdepan saingan dua calon yang pernah bertanding di DUN Tenang termasuk seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu.
Bagaimanapun, beliau melihat pengalaman lawan bukan halangan malah menjadi pemangkin untuk menawarkan pendekatan berbeza kepada pengundi dengan membawa naratif politik yang lebih segar dan dekat di hati rakyat.
“Di peringkat Barisan Nasional (BN), mereka menampilkan calon yang pernah menjadi ADUN sebelum ini (Mohd Azahar Ibrahim) dan saya kira itu bukan masalah besar bagi saya. Mereka dah buat apa yang sepatutnya buat dan saya hari ini tampil untuk buat lebih baik daripada itu,” katanya.
Selain itu, Elia Nadira berkata suasana kempen berlangsung dalam semangat demokrasi yang sihat dan matang apabila semua calon daripada parti yang bertanding dapat berinteraksi serta bertukar pandangan secara profesional.
“Pengundi pun kita santun, mereka dapat menerima kehadiran kita dengan penuh senyuman dan dengan pihak lawan pun kita beberapa kali bertemu, jadi kita pun boleh duduk semeja, minum sekali, bergambar, tak ada masalah,” katanya.
Selain Mohd Azahar, pada PRN Johor ke-16 ini, Elia Nadira bakal dicabar Normala Sudirman daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas Siti Aisyah Zobir dalam pertandingan empat penjuru.
Sebanyak 172 calon bertanding dalam PRN Johor yang berlangsung pada 11 Julai, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
N05: TENANG - 22,616 pengundi
1. Siti Aisyah Zobir (Bebas/IND)
2. Normala Sudirman (PN-PAS)
3. Elia Nadira Sabudin (PH-Amanah)
4. Mohd Azahar Ibrahim (BN-UMNO)
(2022: Haslinda Salleh: BN-UMNO: Maj:1,736)
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial