JASIN, 30 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka akan menganjurkan Festival Durian Melaka “Kendurian” 2026 pada 5 Julai yang menawarkan bufet durian premium Musang King dan Black Thorn pada harga RM25 kepada rakyat negeri itu.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata program di Duta Riang Villa, Selandar itu juga bertujuan membantu pekebun kecil di Melaka memasarkan durian selain membolehkan orang ramai menikmati durian berkualiti pada harga berpatutan.
“Walaupun berlaku lambakan durian di pasaran ketika ini, harga runcit durian premium seperti Musang King masih antara RM25 hingga RM35 sekilogram manakala Black Thorn hampir RM40 sekilogram.
“Jadi kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan program ini supaya rakyat Melaka yang mungkin tidak berkemampuan membeli durian premium berpeluang menikmati durian itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak penganjuran festival itu hari ini.
Hadir sama Pengarah Pertanian Melaka Rozli Azizi Talib, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka Nor Azhar Abdul Hamid dan Penolong Pengarah Pelancongan Malaysia Wilayah Selatan Norisyam Odzali.
Dr Muhamad Akmal berkata program dari 11 pagi hingga 4 petang itu turut dibuka kepada pengunjung luar Melaka dengan bayaran RM50 seorang manakala kemasukan bagi kanak-kanak bawah 12 tahun percuma.
“Rakyat Melaka yang ingin menikmati tawaran RM25 itu perlu mengemukakan kad pengenalan sebagai bukti kelayakan termasuk pemegang kad pengenalan berkod negeri Melaka.
“Durian yang disediakan hanya boleh dinikmati di lokasi program dan setiap peserta dibenarkan menikmati durian tanpa had selama 20 minit mengikut slot yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata program itu diharap dapat menarik lebih ramai pelancong ke Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024-2026 dan membuka lebih banyak peluang pasaran kepada pekebun durian tempatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial