AM

Menyusuri Sungai Johor, Jejak Sejarah Dan Keindahan Alam Kota Tinggi

30/06/2026 05:40 PM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KOTA TINGGI, 30 Jun (Bernama) -- Deruan enjin bot memecah keheningan suasana Sungai Johor, membuka kembara yang bukan sekadar menyusuri perjalanan air, tetapi juga menyelami kisah lama sebuah empayar dan ketenangan alam yang masih terpelihara.

Suasana hiruk-pikuk pekan kecil Jeti Pangkalan Kota kini semakin sayup ditinggalkan dan pandangan mata disambut hamparan hijau rimbunan pokok di kiri dan kanan sungai, seolah-olah mengalu-alukan kedatangan pengunjung yang mahu “bercuti” seketika daripada kesibukan dunia moden.

Pengalaman itu dilalui mereka yang menyertai pelayaran sejauh 6.7 kilometer (km) kendalian Kota Tinggi River Cruise (KTRC) dan kini antara produk ekopelancongan yang semakin mendapat perhatian, khususnya bersempena dengan Tahun Melawat Johor 2026.

Pengurus operasi KTRC Aiman Haikal Mohd Azmi berkata Sungai Johor bukan sekadar laluan air, tetapi adalah saksi sejarah kebangkitan Kesultanan Johor-Riau selepas kejatuhan Melaka pada abad ke-16.

Beliau berkata sungai itu pernah menjadi nadi utama pusat pemerintahan lama seperti Johor Lama dan Kampung Makam yang menempatkan makam beberapa sultan terdahulu.

“Melalui keunikan sejarah diraja ini, kami menerima sambutan yang sangat menggalakkan sepanjang tujuh bulan pertama operasi dengan lebih 10,000 pengunjung direkodkan.

“Selain pelancong tempatan termasuk dari Terengganu, kami turut menerima kunjungan pelancong antarabangsa dari Singapura, Indonesia dan Brunei yang ingin merasai sendiri pengalaman ini,” katanya kepada Bernama, di sini baru-baru ini.

Aiman Haikal berkata pelayaran pada waktu siang menawarkan pengunjung menyusuri lokasi ikonik seperti Titian Laksamana dan Baras Sungai Johor yang sering menjadi tumpuan peminat fotografi.

Sepanjang perjalanan kira-kira satu jam itu, pengunjung turut diperdengarkan kisah legenda tempatan termasuk Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dan Laksamana Bentan melalui audio panduan atau pemandu pelancong di atas bot.

“Pengunjung juga dapat melihat struktur-struktur binaan lama yang masih ada di tepi sungai tersebut selain melihat bandar Kota Tinggi dari arah sungai,” katanya.

Apabila senja melabuhkan tirai, Sungai Johor bertukar wajah menjadi lebih magis dengan pakej ‘Mesmerising Fireflies’ yang menjadi antara tarikan utama KTRC.

Dalam suasana gelap yang hanya diterangi cahaya semula jadi, ribuan kelip-kelip spesies ‘Pteroptyx tener’ mula berkelip serentak di celah rimbunan pokok berembang dan paya bakau, menghasilkan pemandangan seakan-akan hiasan pada pokok Krismas yang hidup di sepanjang tebing sungai.

Aiman Haikal berkata pengunjung turut boleh memilih pakej Dining Cruise yang menawarkan pengalaman menjamu selera di atas bot sambil menikmati pemandangan bandar Kota Tinggi dari tengah sungai.

Beliau berharap produk pelancongan berasaskan alam dan warisan seperti itu terus mendapat sokongan kepimpinan baharu kerajaan yang bakal dibentuk menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana aktiviti itu bukan sahaja memelihara ekosistem sungai tetapi turut menjana ekonomi komuniti setempat.

KTRC beroperasi setiap hari bermula 9 pagi hingga 7 malam pada hari biasa manakala pada hujung minggu dari Jumaat hingga Ahad dengan waktu operasi dilanjutkan hingga 10 malam.

Harga tiket pelayaran siang bermula RM20 bagi dewasa, kanak-kanak (RM15) serta RM10 bagi warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU), manakala pakej matahari terbenam dan kelip-kelip pula ditawarkan pada RM23 bagi dewasa, RM17 kanak-kanak serta RM13 bagi warga emas dan OKU, dengan diskaun 15 peratus turut diberikan kepada ejen bagi semua kategori tiket.

Johor sedang melalui pilihan raya negeri dengan pengundian pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan