POLITIK

Penduduk Mahu Kukup Diberi Nafas Baharu, Anak Muda Tidak Terus Berhijrah

30/06/2026 04:09 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PONTIAN, 30 Jun (Bernama) -- Penduduk Kukup menaruh harapan perkampungan nelayan dan destinasi makanan laut terkenal itu diberi nafas baharu menerusi pembangunan industri pelancongan lebih tersusun, sekali gus mampu menarik lebih ramai pengunjung serta menggalakkan anak tempatan pulang membina kerjaya di kampung halaman.

Pengusaha kafe, Cindy Ang, 31, berkata Kukup mempunyai keunikan tersendiri dengan warisan kampung nelayan, sangkar ikan, hutan paya bakau dan makanan laut yang sukar ditemui di tempat lain, namun potensinya masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau berkata antara cabaran utama ialah imej Kukup dilihat kurang menarik dan statik sejak dahulu, selain kekurangan produk pelancongan baharu yang mampu menarik minat generasi muda.

"Ramai orang menganggap Kukup hanya sesuai dikunjungi pada hujung minggu untuk makanan laut atau menginap di chalet. Selepas itu, mereka tidak tahu hendak ke mana kerana kekurangan aktiviti dan tarikan lain," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau yang pulang ke Kukup selepas hampir 10 tahun belajar dan bekerja di Singapura berkata keputusan itu dibuat bagi meneruskan perniagaan keluarga yang diasaskan pada 1989 serta menyumbang kepada pembangunan kampung halaman.

Ang berharap lebih ramai anak muda “berani” kembali ke Kukup untuk memulakan perniagaan kerana pembangunan sesebuah kawasan memerlukan idea baharu, kreativiti dan sokongan semua pihak.

Beliau turut berpandangan bahawa aspek kebersihan perlu diberi perhatian serius kerana persepsi mengenai bau kurang menyenangkan antara komen yang sering ditinggalkan pengunjung di media sosial.

Bagaimanapun, Ang berkata identiti Kukup sebagai kampung nelayan tidak seharusnya dilihat sebagai kelemahan, sebaliknya boleh dijadikan tarikan jika disokong dengan sistem kebersihan, saliran dan pengurusan sisa yang lebih berkesan.

"Pelancong dari bandar sebenarnya ingin merasai pengalaman berbeza seperti melihat kehidupan nelayan, melawat sangkar ikan dan menikmati suasana kampung. Itu keunikan Kukup yang perlu dipelihara dan dipromosikan," katanya.

Nur Shuhada Alieya Musa, 26, pula berharap kerajaan negeri yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memberi penekanan kepada penyediaan kemudahan pendidikan, rekreasi dan pembangunan moden bagi mengurangkan penghijrahan golongan muda ke bandar.

Beliau berkata selain peluang pekerjaan, penyediaan kemudahan yang lengkap turut memainkan peranan penting dalam meyakinkan anak muda untuk terus menetap dan membina keluarga di Kukup.

"Kalau boleh, diwujudkan sekolah untuk kanak-kanak seawal usia dua hingga lima tahun seperti di Kulai. Selain pendidikan asas, mereka juga boleh mengikuti pelbagai aktiviti pembelajaran yang dapat membantu melahirkan generasi lebih berkualiti pada masa depan," katanya.

Beliau berkata pembangunan fizikal yang lebih moden juga perlu diberi perhatian memandangkan penduduk kini perlu ke Johor Bahru untuk mendapatkan kemudahan asas seperti pusat beli-belah, pawagam dan tempat rekreasi keluarga.

Sementara itu, Ang Eng Soon, 59, berkata bermula sebagai sebuah perkampungan nelayan kecil pada 1960-an dan 1970-an, Kukup antara destinasi makanan laut terkenal di rantau ini dengan menerima kunjungan pelancong dari Singapura, Australia, Amerika Syarikat dan negara lain.

"Kukup dibina sedikit demi sedikit oleh penduduk kampung sendiri. Dulu ramai pelancong datang semata-mata untuk menikmati makanan laut di sini," katanya.

Beliau berkata cabaran utama kini ialah penghijrahan golongan muda ke Singapura dan bandar-bandar lain untuk mencari pekerjaan dengan kira-kira 20 peratus sahaja masih terlibat dalam sektor akuakultur serta perikanan.

Justeru beliau berharap kerajaan negeri memberi keutamaan kepada pembangunan industri pelancongan, akuakultur dan perikanan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan pada masa hadapan.

-- BERNAMA 

 

 
N56: KUKUP: 34,968
 
1. Md Israk Abdullah (BN-UMNO)
2. Cheah Chee Hong (PH-PKR)
 
(2022: Datuk Jefridin Atan: BN-UMNO: Maj: 8,201)
 
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan