DUNIA

Syarikat Multinasional Yakin Terhadap Rantaian Bekalan China

30/06/2026 02:59 PM

BEIJING, 30 Jun (Bernama-CMG) -- Kecerdasan buatan (AI) menjadi tumpuan pada Ekspo Rantaian Bekalan Antarabangsa China keempat yang diadakan di sini baru-baru ini apabila syarikat tempatan dan asing mempamerkan produk serta teknologi terkini masing-masing.

Ekspo edisi kali ini turut memperkenalkan zon khas AI buat kali pertama dengan kebanyakan syarikat transnasional yang menyertai ekspo itu menyatakan komitmen mereka untuk melebarkan sayap ke pasaran China.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Newegg Group dari Amerika Syarikat (AS), Anthony Chow berkata ekspo itu berjaya menghimpunkan pelbagai sumber AI yang amat bermanfaat kepada syarikat.

"Kami boleh memanfaatkan sumber ini untuk bekerjasama dengan setiap pengeluar, di samping mempamerkan keupayaan platform kami yang komprehensif kepada pelanggan,” kata beliau.

Menurut beliau, inovasi merupakan kelebihan utama rantaian bekalan China, dan ia juga peluang keemasan kepada syarikat multinasional untuk "merebut peluang pertumbuhan" dengan masa depan.

Naib Presiden Kanan Medtronic Global AS, Alex Gu pula berkata rantaian bekalan China mampu memberikan respons dengan pantas apabila pasaran memerlukan peningkatan kapasiti pengeluaran.

"Pada masa sama, ia (rantaian bekalan China) juga mampu membuat kawalan ketat terhadap kualiti. Oleh itu, ia merupakan rantaian bekalan yang paling berbaloi," kata Gu.

Sementara itu, Pengerusi Intel China Wang Zhicong berkata pihaknya kini mempunyai hubungan kerjasama yang erat dengan lebih 15,000 syarikat tempatan di China.

"Ekosistem di China semakin lengkap, dan kami bersama-sama rakan kongsi tempatan berusaha untuk meneroka lebih banyak senario. Pada masa sama, kami dapat menggabungkan teknologi perkomputeran termaju dengan pelbagai aplikasi untuk meningkatkan produktiviti,” katanya.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan