FOKUS BERNAMA

Bertahun Hidup Bergelap, Komuniti Hmong Di Pergunungan Thailand Kecapi Elektrik

27/06/2026 10:11 AM
Daripada MUHAMMAD FAWWAZ THAQIF BIN NOR AFANDI

Kalian nampak tak bunga-bunga tu?” tanya pemandu ketika van yang kami naiki bergerak perlahan-lahan menyusuri laluan sempit dan berliku di lereng bukit.

Tangannya menuding deretan pokok kekwa di sepanjang cerun yang bentuk bunganya kian samar, diselubungi cahaya lembut lewat petang.

“Bunga-bunga itu perlukan cahaya pada waktu malam,” katanya.

Jika tiada cahaya, pokok itu tidak boleh bertumbuh?

Lelaki itu mengangguk perlahan sebelum menjawab ringkas, “Tiada cahaya, tiadalah bunga.”

Terletak hanya kira-kira 45 kilometer dari bandar Chiang Mai, perjalanan ke kampung Huay Nam Rin, sebuah perkampungan tanah tinggi yang didiami oleh sekitar 30 keluarga daripada komuniti Hmong, bagaimanapun membuktikan jarak tidak menggambarkan tahap keterhubungan sesebuah kawasan.


Penduduk kampung Huay Nam Rin memunggah bekalan dan peralatan tenaga yang didermakan sebagai sebahagian daripada projek CSR GoRental Chiang Mai.

Bernama berpeluang ke kampung itu pada awal April lalu atas undangan GoRental Global, sebuah syarikat penyelesaian tenaga berpangkalan di Singapura, bagi menyaksikan sendiri pelaksanaan projek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) di sana, yang bertujuan meningkatkan taraf hidup penduduk. 

Sememangnya perjalanan yang ditempuh amat mencabar. Jalannya curam, beralaskan batu-batu kerikil yang berserakan apabila digeser tayar kenderaan yang bergerak perlahan. Di beberapa selekoh, jurang di tepi jalan terbuka luas, mempertontonkan banjaran bukit yang sayup ke kaki langit.  

Selepas kira-kira satu setengah jam menaiki van dari bandar Chiang Mai, perjalanan terhenti di laluan masuk ke kampung, berhampiran sebuah pusat meditasi. Dari situ, jalan menjadi kian sempit, mendaki dan curam. Kami bertukar kenderaan untuk meneruskan perjalanan. Kali ini sebuah pacuan empat roda. Biarpun hanya mengambil masa sekitar 10 minit, laluan terakhir itu terasa lebih lama kerana setiap selekoh mengabsahkan betapa terceruknya kampung kecil tersebut daripada kesibukan bandar yang terletak nun di kaki pergunungan.

 

KEHIDUPAN SEBELUM ADA ELEKTRIK

Di Huay Nam Rin, kegelapan yang menyusuli matahari terbenam, menyelubungi kampung itu jauh lebih cepat berbanding kawasan tanah rendah. Sejak bertahun-tahun lamanya, komuniti di situ  yang bergantung pada tanaman bunga kekwa dan buah markisa sebagai sumber pendapatan, hidup tanpa bekalan elektrik kerana petempatan mereka terletak di luar liputan grid kebangsaan.  

Menurut ketua kampung Kriangkrai Suya, penduduk hanya bergantung pada generator diesel atau petrol yang dihidupkan selama beberapa jam sahaja setiap malam kerana kos bahan api yang tinggi.


Kriangkrai Suya.

“Apabila generator dimatikan, rumah-rumah kembali diselubungi kegelapan hampir sepenuhnya. Jadi, penduduk terpaksa menggunakan lilin dan pelita minyak tanah,” katanya kepada Bernama menerusi jurubahasa.

Menurutnya, ada juga penduduk yang menggunakan bateri kereta dengan pendawaian dibuat sendiri bagi menyalakan lampu asas. Bagaimanapun kaedah itu berisiko tinggi dan sering menyebabkan litar pintas. Akan tetapi, itulah satu-satunya pilihan yang mampu dilakukan oleh kebanyakan keluarga pada waktu berkenaan.

“Kanak-kanak tidak dapat menyiapkan kerja sekolah dengan baik pada waktu malam. Kadang-kadang ada lampu yang dihidupkan menerusi generator tetapi cahaya tidak cukup terang, dan keadaan itu menjejaskan penglihatan mereka,” katanya.

Lelaki itu turut menjelaskan tanaman bunga kekwa memerlukan pencahayaan terkawal pada waktu malam bagi merangsang pertumbuhan. Keadaan itu menyebabkan petani bergantung sepenuhnya pada generator yang disifatkannya sebagai terlalu mahal selain tidak stabil.

 

BEKALAN ELEKTRIK YANG MENGUBAH KEHIDUPAN

Namun kini semua itu tinggal sejarah. Sejak 31 Mac 2026, keadaan di Huay Nam Rin menjadi terang benderang. Seluruh isi rumah di kampung itu menikmati bekalan elektrik luar grid yang stabil hasil projek CSR GoRental Global, menerusi pemasangan gabungan sistem penyimpanan tenaga bateri mudah alih dan panel solar fotovoltaik.

Sebanyak 31 unit sistem penyimpanan tenaga bateri mudah alih serta 60 panel solar dipasang, menyediakan kapasiti mikrogrid mudah alih tenaga boleh baharu berjumlah 40 kilowatt (kW) di samping penjanaan tenaga solar sebanyak lapan kW.


Penduduk kampung dan pemimpin komuniti bersama pasukan GoRental selepas pelaksanaan sistem solar dan bateri luar grid modular di Kampung Huay Nam Rin, Chiang Mai.

Menurut GoRental Global, kira-kira US$100,000 dibelanjakan bagi melaksanakan projek di Huay Nam Rin yang juga yang pertama di bawah Program CSR Ketahanan Tenaga syarikat itu.

Perubahan yang berlaku dapat dirasai hampir serta-merta.

“(Paling utama) keadaan kini lebih selamat untuk kami bergerak di sekitar kampung pada waktu malam. Anak-anak juga boleh belajar pada waktu malam,” kata Kriangkrai dengan penuh kegembiraan.

“Kami juga tidak lagi perlu tergesa-gesa menyiapkan segala urusan sebelum gelap. Kehidupan menjadi lebih baik untuk semua penduduk di sini.”

Tambahnya, “Bekalan elektrik sangat penting. Tidak ada sesiapa pun yang mahu hidup dalam kegelapan setiap malam. Kami mahu komuniti kami menikmati kehidupan yang lebih baik, kehidupan yang lebih berkualiti.”

Selain itu, aktiviti ekonomi penduduk selepas waktu malam tidak lagi dikekang oleh tempoh penggunaan generator, dan yang lebih penting, bekalan elektrik mengembalikan kawalan terhadap masa kepada mereka, membolehkan penduduk menentukan sendiri bagaimana malam dimanfaatkan dan bagaimana masa depan yang ingin dibentuk.

Pada malam lawatan Bernama, sekumpulan penduduk bersantai di sebuah kawasan lapang untuk bersama-sama menikmati hidangan di bawah sinaran lampu yang baru dipasang.

Suasana itu kelihatan biasa saja tetapi cukup bermakna. Dulu, mereka sukar mengadakan pertemuan pada sebelah malam kerana kegelapan. Kini, kampung itu cukup terang, membolehkan ahli komuniti duduk bersama-sama, berbual dan menikmati suasana malam.

“Dulu kami hidup dalam kegelapan. Sekarang, kerana kami sudah ada lampu,  kami cuma mahu kampung ini terus maju, selangkah demi selangkah,” kata Kriangkrai.

Kata-katanya jelas menggambarkan betapa besar kesan bekalan elektrik terhadap komuniti itu. Kemudahan tersebut bukan sekadar menerangi rumah mereka, tetapi turut menyemarakkan semula harapan mereka untuk menikmati masa depan yang lebih baik.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan