AM

Agong Berkenan Berangkat Ke Majlis Santapan Diraja Hari Polis Ke-219

26/06/2026 11:59 PM

SUBANG JAYA, 26 Jun (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke majlis santapan diraja sempena sambutan Hari Polis ke-219 di sini malam ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dalam sembah ucapannya menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Seri Paduka Baginda berangkat ke majlis berkenaan, yang disifatkannya sebagai penghormatan tertinggi kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata PDRM yang kini menginjak usia 219 tahun kekal teguh sebagai entiti utama dalam memelihara kedaulatan, keselamatan masyarakat dan kesejahteraan negara.

“Tanggal 25 Mac setiap tahun adalah tarikh bersejarah untuk mengenang perjuangan dan pengorbanan wira-wira pasukan yang gugur di medan bakti demi mempertahankan ibu pertiwi. Kita titipkan doa agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada,” katanya.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar,  Ketua Hakim Negara Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan barisan kepimpinan tertinggi PDRM.

Mohd Khalid turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan agensi sahabat atas sokongan berterusan dalam memperkasakan PDRM.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan