AM

516 Mangsa Banjir Di Perak, Selangor Berlindung Di PPS

26/06/2026 09:39 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Sebanyak 516 mangsa masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir di Selangor dan Perak, setakat malam ini.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang menurun kepada 406 individu daripada 194 keluarga setakat malam ini berbanding 522 orang daripada 233 keluarga malam semalam.

Semalam, media melaporkan sebanyak 32 rumah di Taman Langat Utama 2, RTB Bukit Changgang di Banting terjejas akibat banjir selepas berlaku kejadian ban pecah kira-kira 800 meter dari kawasan perumahan berkenaan pada Rabu lepas. 

Di PERAK, jumlah mangsa banjir yang direkodkan di dua PPS adalah sebanyak 110 orang daripada 31 keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Gelugor daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) menempatkan 59 mangsa daripada 15 keluarga dari Kampung Matang Pasir dan Kampung Matang Gelugor.

Sebanyak 51 mangsa daripada 16 keluarga pula masih berlindung di PPS Dewan Bandaran Gopeng yang menempatkan penduduk dari Kampung Ulu Geruntum.

Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan cuaca di lima daerah, iaitu Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar dan Batang Padang diramalkan hujan pada malam ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan