AM

PM Anwar Mahu Proses Peringkat PBT Dipercepat Untuk Tingkat Daya Saing Negara

26/06/2026 05:37 PM

DENGKIL, 26 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua proses kelulusan dan urusan pada peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dipercepat serta diperkemas bagi meningkatkan daya saing Malaysia pada peringkat global.

Sehubungan dengan itu, beliau mengarahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyelaras serta memperkukuh pemantauan terhadap PBT bagi memastikan setiap urusan dilaksanakan secara lebih cekap dan berkesan.

Anwar berkata perbezaan prosedur antara majlis perbandaran dan majlis bandar raya menyebabkan proses mendapatkan kelulusan bagi projek seperti pembinaan rumah dan kilang mengambil masa terlalu lama, sekali gus meningkatkan kos kepada pemohon.

“Ini (peraturan dan prosedur) kadang-kadang berbeza, dan tidak dapat menjamin kecekapan dan kepantasan melaksanakan, contohnya memohon kebenaran buat rumah, kilang, kalau tunggu sampai berbulan, (ia) meletihkan dan kos boleh meningkat,” kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Pekan Dengkil, di sini hari ini.

Justeru, Perdana Menteri berkata beberapa langkah baharu akan diperkenalkan bagi mempercepat proses kelulusan dan urusan pentadbiran pada peringkat PBT, selaras dengan hasrat kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kejayaan Malaysia meraih kedudukan ke-15 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2026 bukti kekuatan ekonomi negara meningkat.

Kejayaan itu kata beliau ialah hasil kerjasama semua pihak pada peringkat Kabinet serta perkhidmatan awam dan swasta yang berusaha bersama-sama memajukan negara.

“Ini maknanya (kedudukan kita) berbanding kekuatan ekonomi dunia adalah meningkat. Maknanya, kita daripada pihak kerajaan, jabatan, rakyat, swasta, petani, nelayan mesti terus tingkatkan usaha kita. Jangan kita mudah puas hati. Semua orang mesti fikir apa kaedah dan cara untuk pembaikan,” kata beliau.

Menurut laporan WCR yang dikeluarkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), kedudukan Malaysia melonjak lapan anak tangga pada kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi global, dengan skor keseluruhan 81.91 mata, meletakkan negara kembali dalam kelompok 20 ekonomi paling berdaya saing di dunia. 

Dalam kalangan ekonomi Asia Pasifik, Malaysia berada pada kedudukan kelima di belakang Singapura, Hong Kong, Taiwan dan China, namun mengatasi Australia, Korea Selatan, Thailand, Vietnam dan Jepun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan