CARACAS, 26 Jun (Bernama-Xinhua) -- Angka kematian akibat dua gempa bumi kuat yang melanda utara Venezuela pada Rabu meningkat kepada 188, dengan 1,520 cedera, kata Presiden Dewan Negara Jorge Rodriguez pada Khamis, lapor Xinhua.
Bercakap menerusi televisyen negara Venezuela, Rodriguez berkata negara itu berlumba dengan masa untuk menyelamatkan mereka yang cedera dan terperangkap, sambil menambah bahawa angka itu akan dikemas kini dalam beberapa jam akan datang.
Kira-kira 200 orang terperangkap di bawah runtuhan dan 157 yang lain masih hilang, katanya.
Venezuela merekodkan 138 gegaran susulan setakat tengah hari Khamis, kata Rodriguez.
Berikutan gegaran susulan yang berterusan itu, kerajaan Venezuela mengisytiharkan beberapa kawasan termasuk negeri La Guaira sebagai zon bencana.
Sekurang-kurangnya 346 bangunan rosak, termasuk lapan hospital, beberapa daripadanya telah dikosongkan, katanya.
Rodriguez berkata pasukan penyelamat antarabangsa dari beberapa negara telah tiba di Venezuela untuk membantu operasi bantuan.
Beliau turut menyeru orang ramai untuk menderma bekalan kecemasan di pusat pengumpulan di seluruh negara.
Pekerja penyelamat masih mencari mangsa yang terselamat di bangunan runtuh, manakala jentera berat mula tiba di lokasi bencana ketika operasi menyelamat diteruskan.
Ramai rakyat Venezuela mula bermalam di jalanan atau di dalam kereta awal Khamis kerana gegaran susulan yang berlanjutan.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial