KOTA BHARU, 20 Jun (Bernama) -- Dua remaja perempuan yang juga pasangan sepupu dilaporkan hilang sejak Khamis lepas selepas keluar ke bandar Kota Bharu tanpa ditemani ahli keluarga buat kali pertama.
Nur Kaseh Nalisya Mohd Ramzul Nazrie, 16, dan sepupunya Nor Syahzanani, 15, dikatakan keluar dari rumah mereka di Kampung Baloh dekat Kok Lanas di sini, dengan menggunakan perkhidmatan e-panggilan pada petang Khamis sebelum berkunjung ke sebuah pasar raya.
Ibu kepada Nur Kaseh Nalisya, Hasnah Zakaria, 46, berkata anaknya sempat menghubunginya kira-kira 9 malam, dan memaklumkan dia akan pulang ke rumah dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, selepas itu telefon bimbit anak kelima daripada tujuh beradik itu serta sepupunya gagal dihubungi sehingga kini walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menghubungi mereka.
“Sebelum keluar, anak saya memberitahu hanya mahu bersiar-siar dan mengambil gambar di kawasan yang mempunyai pemandangan cantik.
“Mereka berdua juga tidak membawa MyKad atau dompet kerana hanya menggunakan telefon untuk membayar tambang e-panggilan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Hasnah berkata kehilangan kedua-dua remaja itu kini memasuki hari ketiga dan keadaan itu menyebabkan seluruh keluarga bimbang.
Sementara itu, bapa Nor Syahzanani, Mohd Sulaiman Zakaria, 47, berkata anak bongsunya itu tidak mempunyai sebarang masalah di rumah dan tidak pernah keluar jauh untuk bersiar-siar tanpa ditemani keluarga.
Mohd Sulaiman berkata anaknya dan sepupunya sangat rapat memandangkan rumah mereka berdekatan dan kebiasaannya hanya bermain atau bersiar-siar di sekitar kampung.
“Ini kali pertama mereka keluar berdua ke bandar Kota Bharu kerana sebelum ini mereka biasanya ditemani keluarga. Keluarga kami kini telah membuat pelbagai usaha untuk mengesan mereka dan berharap kedua-duanya dapat ditemukan dalam keadaan selamat,” katanya.
Beliau berkata laporan polis berhubung kehilangan kedua-dua remaja itu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada 10 pagi semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Azmir Damiri ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.
Beliau berkata kes itu disiasat sebagai orang hilang, dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial